fbpx
FAIZAL terkejut melihat lembaga seakan-akan wanita berambut panjang yang membuka pintu ketika menghantar makanan ke sebuah rumah usang di satu kawasan perkampungan berhampiran Putrajaya. – ILUSTRASI Shah HASAN SHAH

Rider hantar makanan ke rumah wanita misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Faizal (bukan nama sebenar) merupakan antara penunggang motosikal yang telah beberapa tahun bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran makanan terkemuka di negara ini.

Menurutnya, sejak bekerja sepenuh masa sebagai rider, dia juga sudah mengalami pelbagai pengalaman terutama ketika berhadapan dengan pelanggan yang disifatkannya mempunyai 1,001 karenah dan perangai.

“Namun, dalam banyak-banyak pengalaman yang saya lalui, ada satu situasi menyeramkan yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Faizal memberitahu, kejadian itu berlaku kira-kira tiga tahun lalu ketika dia bertugas pada waktu malam.

Jelasnya, ketika berkumpul bersama beberapa rakan rider di sebuah lokasi di Putrajaya, dia menerima pesanan daripada seorang pelanggan yang memesan set hidangan makanan segera dari sebuah restoran terkemuka.

Memandangkan dia masih kekurangan jumlah perjalanan pada malam tersebut, Faizal terus menerima permintaan melalui aplikasi dalam telefon pintarnya itu.

“Sebaik mengambil pesanan daripada restoran makanan segera itu, saya terus menekan butang pada aplikasi tersebut.

“Kebiasaannya, saya akan menggunakan aplikasi peta pada telefon pintar agar mudah menemui lokasi pelanggan.

“Sebaik melihat lokasi pelanggan yang tertera pada aplikasi peta, saya memulakan perjalanan menggunakan motosikal dengan jangkaan ketibaan kira-kira 15 minit,” katanya.

Menurut Faizal, selepas keluar dari Putrajaya, dia melalui kawasan perkampungan dengan keadaan jalan agak gelap.

Ceritanya lagi, sebaik menghampiri lokasi pelanggan yang tertera pada aplikasi peta, dia dapat melihat sebuah rumah kampung yang terletak di tepi jalan dengan lampu terpasang agak suram.

Tanpa berlengah, dia memberhentikan motosikalnya di hadapan pagar rumah berkenaan, sebelum menelefon pelanggan tersebut bagi memberitahu ketibaannya.

“Pada mulanya, saya hanya berdiri di luar pagar rumah sambil memberi salam kerana tidak manis jika terus masuk ke kawasan rumah orang.

“Disebabkan salam tidak disambut, saya terus mengetuk pintu rumah tersebut agar pelanggan menyedari kehadiran saya.

“Selepas kira-kira lima minit berdiri di luar rumah, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan sahaja makanan tersebut dengan menyangkutnya di pintu.

“Namun, sebaik melangkah keluar, tiba-tiba saya terdengar bunyi pintu terbuka. Ia menyebabkan saya berpatah semula untuk memberitahu pelanggan bahawa makanan telah diletakkan di hadapan pintu,” katanya.

Ujar Faizal, sebaik dia berada di depan pintu rumah tersebut, alangkah terkejutnya apabila melihat dengan jelas satu lembaga seakan-akan wanita berambut panjang dan berpakaian serba putih berdiri di pintu sambil memandang tepat ke arahnya.

Tanpa berlengah, dia terus berlari keluar dari kawasan rumah itu, sebelum memecut laju meninggalkan kawasan tersebut.

Malah, dia dapat mendengar lembaga tersebut seakan-akan mengilai dari dalam rumah tersebut.

“Disebabkan itu, saya tidak putus-putus membacakan ayat suci al-Quran sebagai pendinding dirinya.

“Selepas beberapa ketika, saya tiba di tempat rider lain berkumpul dalam keadaan muka yang pucat dan ketakutan.

“Sebaik ditanya oleh beberapa rakan, saya kemudian menceritakan kejadian yang menimpa saya sebelum itu.

“Rupa-rupanya, bukan saya seorang sahaja yang pernah mengalami pengalaman menyeramkan itu.

“Malah, ada beberapa rider lain pernah menghantar makanan ke rumah berkenaan dan pernah diganggu juga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN