fbpx
JAMILAH bersama kraf kusyen perehat lengan dihasilkannya yang mendapat pengiktirafan pada Majlis Penganugerahan Reka Bentuk Baik Malaysia (MGDA) anjuran Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM) , manakala gambar kanan bersama kucingnya, Chemong.

Kraf haiwan oleh nenek 10 cucu raih anugerah reka bentuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bermula dengan hobi menjahit bagi mengisi masa lapang, seorang suri rumah berjaya melonjakkan namanya dalam industri kraf tangan negara.

Jamilah Yahya, 58, berada dalam bidang jahitan selama sedekad sebelum memberanikan diri mencuba sesuatu yang berlainan.

“Sebelum berkecimpung dalam industri kraf tangan ini, saya bermula dengan jahitan apabila membuka tempahan bagi menjahit langsir dan cadar selama 10 tahun.

“Selepas mahir menjahit, saya ingin keluar dari zon selesa dan membuat satu kelainan dengan ‘terjun’ dalam bidang pembuatan kraf tangan pula,” ujarnya kepada K2.

Menariknya, kusyen perehat tangan atau armrest bermotifkan haiwan yang direka oleh Jamilah telah merangkul Anugerah Reka Bentuk Baik Malaysia (Malaysia Good Design Award) baru-baru ini pada Majlis Penganugerahan

Reka Bentuk Baik Malaysia (MGDA) anjuran Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM).

HASIL kraf tangan Jamilah telah mendapat pengiktirafan pada Majlis Penganugerahan Reka Bentuk Baik Malaysia (MGDA) anjuran Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM) baru-baru ini.

Kreativiti tanpa batasnya telah membuatkan Jamilah menjadi satu-satunya pengusaha kraf patung kain yang mengeluarkan kusyen rehat tempat letak tangan atau dalam perniagaannya disebut desktop wrist rest (kusyen perehat pergelangan tangan) yang menggunakan teknik ikat celup.

“Nama produk sahaja begitu, tetapi sebenarnya ia merupakan produk pelbagai guna.

“Ia boleh digunakan bergantung kepada kemahuan pengguna sama ada diletakkan di lengan, pergelangan tangan, tengkuk, pinggang, dagu dan lain-lain,” terangnya.

Jamilah hakikatnya bukan sahaja mengusahakan kusyen perehat lengan itu tetapi juga pelbagai kraf bertemakan haiwan seperti patung kain, beg, bantal kecil dan macam-macam lagi.

Menurut Jamilah, dia mula menghasilkan produk-produk tersebut selepas mendapat inspirasi daripada haiwan-haiwan seperti kucing, ular, burung hantu dan sebagainya.

Jamilah berkata, sekitar tahun 2018 dan 2019, dia mula memberi fokus terhadap penghasilan patung kain berbentuk kucing yang merupakan haiwan pertama direkanya.

Ketika ditanya mengenai ilham membuat kraf patung kain itu, dia memaklumkan, inspirasi utama datang daripada kucing peliharaannya yang bernama Chemong.

“Selain faktor Chemong, saya juga menghasilkan patung kain berbentuk haiwan kerana sesuai dengan pelbagai peringkat umur.

“Tidak dinafikan, semua golongan sama ada tua atau muda sangat dekat dengan haiwan. Ramai dalam kalangan mereka memiliki haiwan peliharaan,” katanya.

Mengenai pembuatan produk krafnya, Jamilah berkata, proses pembuatannya perlu teliti.

“Kejayaan berkenaan tidak datang bergolek kerana proses pembuatannya agak sukar dan mencabar,” ujarnya lagi. Jamilah memaklumkan, setelah membuatnya dalam tempoh masa lama, proses tersebut sudah tidak serumit seperti sebelumnya.

Walaupun sukar untuk dihasilkan, namun kusyen perehat pergelangan tangan sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan.

Situasi berkenaan sedikit sebanyak menebus rasa penat yang dihadapi Jamilah ketika membuat produk tersebut.

BUKAN sahaja menghasilkan kusyen perehat lengan, Jamilah turut menghasilkan pelbagai kraf bertema haiwan.

Kongsinya, dalam masa sehari, dia mampu menyiapkan sebanyak 20 hingga 25 unit kusyen perehat pergelangan tangan itu.

“Selain daripada kusyen perehat pergelangan tangan, bantal kucing juga mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada peminat haiwan berkenaan,” terangnya.

Jamilah turut menyatakan bahawa tempahan paling tinggi yang pernah diterimanya adalah lebih 300 unit.

“Saya pernah mendapat tempahan yang sangat banyak, namun setakat ini saya hanya mampu menyiapkan 300 unit saja sebulan.

“Apabila pelanggan mahu lebih daripada bilangan itu, saya tidak dapat tunaikan permintaan berkenaan,” keluhnya.

Jamilah menjelaskan, faktor utama yang mengehadkan pengeluaran kusyen rehat pergelangan tangan adalah disebabkan ketiadaan mesin industri bagi menampung permintaan terlalu tinggi.

Dalam pada itu, Jamilah memaklumkan, bukan semua jenis kain sesuai digunakan bagi penghasilan patung kraf tangan.

Jelasnya, setiap kain yang dipilih bergantung kepada jenis kraf tangan yang ingin dihasilkan.

“Contohnya, kain kapas 100 peratus diperlukan bagi menghasilkan corak ecoprint sebelum digunakan untuk membuat patung kain,” terangnya.

Meskipun sibuk menyiapkan tempahan pelanggan, namun Jamilah tidak melupakan kewajipannya sebagai seorang ibu dan isteri.

“Saya mula menjahit pada waktu pagi iaitu sekitar pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira pukul 6 petang.

“Bengkel jahitan ini berada di sebelah kediaman saya. Jadi, tiada masalah untuk saya menguruskan kerja rumah seperti memasak dan mengemas,” jelasnya.

Sementara itu, Jamilah menjelaskan, dorongan yang diterima daripada ahli keluarga menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus berkarya.

Walaupun cuma beroperasi dari rumah, namun ia tidak menghalang Jamilah untuk terus mempromosikan produknya kepada dunia luar.

“Saya aktif sebagai pempamer di ekspo-ekspo yang diadakan di sekitar Johor dan Kuala Lumpur.

“Antara ekspo yang saya pernah terlibat adalah seperti Festival Kraf Johor, Hari Kraf Kebangsaan, Festival Islam dan Halal Antarabangsa Johor dan lain-lain. Saya menggunakan peluang berkenaan sebaik-baiknya untuk menonjolkan diri kepada orang ramai.

“Saya mempromosikan produk melalui setiap ekspo yang dihadiri. Tidak kira ekspo itu kecil atau besar,” ujar Jamilah.

Di samping itu, katanya, pihak Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Kraf Johor banyak membantu mempromosikan produk saya melalui pelbagai platform.

“Selain itu, saya mempromosikan produk kraf tangan ini menerusi akaun peribadi media sosial,” katanya.

Bercerita tentang harga patung kain dihasilkannya, Jamilah memberitahu, harganya di antara RM10 hingga RM20.

Kata Jamilah, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi bantuan sepanjang pelibatannya dalam kraf tangan.

Ujarnya, antara bantuan yang diberi kepadanya termasuklah latihan keusahawanan, bantuan kewangan, pakej pembungkusan dan promosi menerusi pelbagai platform.

Jamilah turut bekerjasama dengan Kolej Komuniti Kota Tinggi dan pihak Kejora untuk menyediakan kelas jahitan patung kain bermula pada tahun depan.

“Alhamdulillah, sejak menceburi industri ini, saya banyak dibantu oleh Kejora dan pihak Kraf Johor,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, dia telah mendapat jemputan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menjalin kerjasama.

Ujarnya, kolaborasi itu bertujuan untuk menyertai sebuah pertandingan yang diadakan di Seoul, Korea Selatan pada 16 dan 17 November lalu.

“Saya tidak dapat mengikut perjalanan mereka ke Seoul kerana mempunyai masalah kesihatan. Bagaimanapun, mereka membawa beberapa produk saya ke sana sehingga berjaya meraih gangsa.

“Antara produk yang dibawa oleh para pelajar UTM ke Seoul adalah beberapa jenis beg yang diperbuat daripada batang pisang.

“Saya hasilkan beg berkenaan dengan menggunakan teknik ecoprint iaitu cetakan warna pada fabrik,” jelas nenek kepada 10 cucu itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN