fbpx
ALYAH

Fasa matang, Alyah tak buru trofi, lagu untuk semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN matang 22 tahun menelusuri ranjau dunia seni, Datin Alyah telah melalui banyak sepak terajang sekali gus melayakkan dirinya berada di posisi sekarang sebagai seorang penghibur sejati.

Pemilik nama lengkap Noor Hasliah Abu Hasan itu optimis segala kerja seni muzik yang pernah dicernakan sepanjang tempoh lebih dua dasawarsa akan terus dikenang termasuk oleh penyanyi generasi sekarang.

“Kalau tengok balik apa yang saya kerjakan (melibatkan muzik), saya mahu perasaan bangga sentiasa ada walaupun ketika sudah melewati usia emas nanti.

“Saya nak bila anak cucu tengok kerja seni saya, mereka dapat ‘signal’ ini Alyah. Juga peringatan buat pemuzik generasi baharu kalau nak bikin muzik, buatlah dengan ikhlas dan setulus hati,” katanya kepada Pose.

Alyah yang ditemui pada penggambaran video muzik single terbaharunya, Cinta Sahabiyah di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini menambah, sejak dahulu lagi, setiap kali hadir dengan karya muzik baharu, dia akan bersungguh-sungguh dari segi segala aspek.

‘All-out’ demi Cinta Sahabiyah

“Kalau kalian perasan, video muzik saya semua ‘all-out’. Untuk Cinta Sahabiyah nampak lebih lagi barangkali sebab baru keluar dari ruang tekanan pandemik Covid-19.

“Kalau sebelum ini terkongkong sebab nak jaga kesihatan, sekarang apa yang boleh dikerjakan, kita buat sehabis baik.

ALYAH menyifatkan kerjaya seninya kini sudah berada di fasa matang dan tidak lagi perlu terkejar-kejar trofi seperti sebilangan penyanyi generasi muda sekarang.

“Cinta Sahabiyah datang dengan mesej. Mesejnya adalah untuk memberi ilmu terutama kepada golongan wanita pada zaman sekarang.

“Kita ambil semangat yang diperjuangkan Sahabiyah (sahabat wanita) Rasulullah SAW dengan harapan kaum Hawa sekarang mana yang rapuh akan jadi lebih kuat. Kurang sabar, akan jadi lebih penyabar,” terangnya.

Sementara ditanya tentang pemilihan Zul Ariffin sebagai hero video muzik Cinta Sahabiyah, Alyah, 41, mendedahkan sudah lama sebenarnya dia ingin menjalin kolaborasi dengan pelakon berbadan sasa itu.

“Lagu Engkau Milikku sepatutnya Zul pelakon utama dalam video muzik, namun mungkin waktu itu, rezeki tiada. Jadi rezeki itu datang sekarang.

“Sepanjang 22 tahun berkecimpung dalam dunia muzik dan nyanyian, alhamdulillah, saya dapat ‘hero’ yang semuanya bagus-bagus.

“Komitmen yang dicernakan mereka sangat membantu. Itulah pentingnya buat video muzik untuk sesebuah lagu. Kalau audio sahaja, impaknya kurang. Mungkin 30 hingga 40 peratus sahaja.

“Ada video muzik atau visual yang bagus, kualiti terus naik 60 hingga 70 peratus. Kalau bab buat video muzik, memang saya sentiasa inginkan yang terbaik sebab ini ‘portfolio’ saya sebagai seorang anak seni,” terang Alyah panjang lebar.

Minta Tok Ram lagu

Bertindak sebagai penulis lirik lagu sendiri, Alyah berseloroh, dia sebenarnya ada usaha ‘meminta’ lagu daripada suami sendiri iaitu Datuk Ramli MS, namun sebaliknya yang terjadi.

Sehubungan itu, bahagian melodi dilakukan oleh rakan baiknya, Omar K yang sangat sinonim dengan karya-karyanya sebelum ini seperti Thank You Allah dan Jutaan Purnama.

“Lagu ini dicipta sekitar tahun lalu. Orang di rumah (suami) pandai buat muzik tapi lambat siap (ketawa).

“Jadi, saya hubungi orang luar, Omar K dan minta dia siapkan lagu ini. Dia tolong saya bahagian bridge tapi lirik lagu memang 100 peratus daripada saya,” katanya seraya menyifatkan lagu tersebut merupakan paling rumit proses pembikinannya.

CINTA Sahabiyah akhirnya menemukan Alyah dan Zul Ariffin selaku hero dalam video muzik.

Selari dengan kematangan dirinya sebagai seorang penghibur ‘senior’ dalam dunia nyanyian, Alyah berkata, buat muzik sekarang, dia tidak lagi ‘mengejar’ trofi.

Katanya, zaman itu semua sudah berlalu dan tujuan muziknya kini adalah untuk mengingatkan peminat termasuk penyanyi generasi sekarang bahawa dirinya yang bernama Alyah kini sudah jauh lebih matang.

“Saya pernah naik dan juga duduk di bawah. Saya sekarang berada di posisi tak mengharapkan apa-apa. Itu bukan konotasi negatif tapi maknanya, kita buat sahaja.

“Contohnya, masa saya buat lagu Thank You Allah, itu bukan untuk masuk pertandingan semata-mata. Tetapi saya buat untuk semua orang.

“Tiba-tiba jadi lagu yang besar tanpa saya jangka. Cinta Sahabiyah pula memang saya buat untuk golongan perempuan dan diri sendiri. Harapan saya adalah untuk menembusi hati semua orang.

“Bukan nak dapat trofi. Benda itu sudah tiada dalam diri saya sekarang. Bukan tak nak, tapi memang tiada harapan di situ lagi. Saya pernah menangis dan hampa apabila lagu tak ‘pergi’ tapi itu dulu,” ungkapnya.

Nak sertai GV tapi dikekang

Sebelum menggulung perbualan, Alyah sempat dijentik pertanyaan sama ada dirinya pernah terfikir untuk menyertai pertandingan nyanyian nombor satu tanah air, Gegar Vaganza (GV).

Katanya, dia ingin sekali menyertai GV, namun tidak dapat direalisasikan kerana suaminya adalah juri tetap di sana.

“Saya pernah nak sertai tapi tak diterima. Sebab suami saya ada di sana. Saya tak naklah ada personal conflict (konflik peribadi).

“Takut terkeluar awal pun kena hentam, kalau menang atau pergi final pun sama juga. Jadi, serba salah saya. Jadi, tak payahlah bertanding,” katanya.

CINTA Sahabiyah merupakan satu kerja yang merumitkan buat Alyah, namun dia bersyukur kerana semuanya dipermudahkan dan berjaya ditemukan dengan peminat termasuk dari segi visual.

Enggan menjolok sarang tebuan, kata Alyah, adalah lebih baik dia hanya duduk di bangku penonton dan memberikan sokongan kepada mereka yang bertanding termasuk suaminya yang merupakan ketua juri program popular tersebut.

“Serba-serbi akan dihentam. Saya dah tahu benda itu. Tidak mengapalah, tolonglah sokong Cinta Sahabiyah. Saya juga beri motivasi kepada suami sebab kadang-kadang orang tak suka dia, saya pula yang terpercik sama.

“Tidak mengapa sebab kita memang tak boleh puaskan hati semua orang. Ada orang suka atau sebaliknya, itu lumrah kehidupan,” tutupnya menoktahkan bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN