fbpx
FADLAN HAZIM

Fadlan Hazim solo lagi ‘available’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KECENDERUNGAN kebanyakan penerbit drama menyerahkan kepercayaan menjayakan watak lelaki jahat kepadanya adakala merisaukan aktor bernama Fadlan Hazim. Sesekali, lelaki bertubuh kekar itu mahu mencari imej baharu dalam kerjaya seninya.

Bukan tidak bersyukur tetapi sebagai seorang anak seni, dia mahu mencabar diri dan memberi kepelbagaian dalam resume lakonannya.

Jejaka ‘macho’, kaki pukul, lelaki curang dan penjenayah, semua itu antara watak yang sering digalasnya selama hampir satu dekad bergelar anak seni.

Berani mencabar kemampuan diri, pemilik nama lengkap Fadlan Hazim Anuwar itu menjelaskan, watak komedi antara yang senang digalinya ketika ini.

“Selalunya orang nampak saya sebagai lelaki yang suka maki, kuat menengking, namun realitinya saya bukan begitu.

SINONIM dengan karakter kaki pukul, lelaki dayus, curang dan kuat menengking, Fadlan sebenarnya seorang yang kuat melawak atau ‘loyar buruk’.– AFIQ RAZALI

“Sebenarnya saya seorang yang ‘loyar buruk’ dan suka bergurau. Mungkin sebab sering bawa watak serius atau romantis, jadi orang tak tahu sisi diri saya yang lain,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Popular menerusi drama Sayang Tak Kenang, katanya menjadi aktor versatil merupakan matlamat yang dipegang sejak mula bertapak dalam dunia seni.

“Saya sudah beberapa kali terlibat dalam karya komedi dan sepertinya selesa dengan watak lucu.

“Kalau boleh saya tidak mahu tersekat dengan sesetengah karakter sahaja. Jadi pelakon versatil adalah impian saya sebagai seorang anak seni.

“Watak komedi sangat mencabar kemampuan tambahan pula saya bukan seorang pelawak, namun lama-kelamaan saya semakin serasi dengan watak sebegitu,” ujarnya.

Fadlan yang kini muncul dalam drama Ijab Kabut terbitan Viu Malaysia mengakui, sangat teruja saat ditawarkan berlakon dengan Azira Shafinaz dan Iedil Dzuhrie Alaudin.

“Sebelum ini saya ada terlibat dengan drama komedi lain tetapi untuk Ijab Kabut, agak lain sedikit sisi lawaknya.

“Skrip naskhah ini sangat bagus dan jalan ceritanya juga ‘lari’ daripada drama yang pernah saya terlibat sebelum ini.

“Malah, watak sebagai seorang perancang perkahwinan dan mencari cinta sejati juga memang kena dengan situasi saya yang memang ke arah itu sekarang ini,” katanya sambil tergelak kecil.

ENGGAN stereotaip, Fadlan tidak mahu hanya tersekat dengan satu corak karakter dalam lakonannya.

Melewati kisah cinta lalunya sebelum ini, impian jejaka berusia 30 tahun itu untuk mendirikan rumah tangga bersama wanita tercinta tidak kesampaian apabila hubungan cintanya putus di tengah jalan.
Cinta terbuka

Dia bagaimanapun tidak sesekali menjadikan pengalaman duka tersebut sebagai batu penghalang untuk menerima cinta daripada mana-mana wanita yang berjaya memikat hatinya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga tidak pernah menutup pintu hati untuk menerima kehadiran ‘orang’ baharu dalam hidupnya.

“Saya tidak trauma cuma saya anggap pengalaman tidak jadi kahwin itu sebagai pengajaran dan akan terus memperbaiki diri menjadi individu lebih baik.

“Semua itu terjadi mungkin disebabkan kekurangan dan kesilapan sendiri.

MASIH solo dan mencari cinta, Fadlan mengakui tidak kisah jika dipertemukan jodoh dengan wanita bukan Melayu.

Saya terbuka untuk mengenali mana-mana wanita untuk mengisi kekosongan hati ketika ini.

“Setakat ini saya masih lagi solo dan memberi fokus sepenuhnya pada karier,” ungkapnya.

Dalam nada tenang, dia juga mengakui sifat ego seseorang lelaki adalah sangat bahaya dan mampu memberi impak kepada sesebuah hubungan.

Pada masa sama, Fadlan masih terbuka untuk bercinta dengan wanita berbangsa atau beragama lain.

“Satu hal yang saya belajar ialah ego ini amat bahaya kerana boleh menghancurkan diri.

“Buat masa sekarang, saya solo dan berkawan dengan semua orang malah terbuka untuk bercinta lagi dengan wanita daripada bangsa lain.

“Namun, sikap terbuka saya masih lagi dalam menjaga batasan,” kongsinya lagi.

FADLAN kini bergandingan dengan Azira Syafinaz dan Iedil Dzuhrie dalam naskhah Ijab Kabut siaran Viu Malaysia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN