KANGAR – Hanya kerana mendambakan wajah yang halus mulus dan licin bak kulit telur, masih ramai wanita menggunakan produk kecantikan ‘timbang kilo’ meskipun mengetahui produk itu mengandungi pelbagai bahan kimia termasuk merkuri.
Ada yang sangsi dengan produk yang dibeli mereka, tetapi tetap menggunakannya kerana kesan pada wajah boleh dilihat dalam tempoh singkat.
Akhirnya, kecantikan yang diidam-idamkan hanya seketika, sebaliknya mereka menanggung derita berpanjangan apabila kulit muka mengelupas, melepuh, berjeragat, mengeluarkan jerawat besar dan kemerah-merahan.
Seorang mangsa, Shahira Azenan, 36, berkata, dia mula menggunakan satu set produk penjagaan kulit ‘timbang kilo’ keluaran tempatan yang dijual seorang rakannya.
“Kawan saya beritahu produk yang ada sabun cuci muka, toner (penyegar), krim siang malam serta krim kunyit itu sangat bagus kerana boleh nampak kesan hanya dalam masa seminggu.
“Saya juga lihat produk itu banyak dijual di media sosial, jadi saya tidak rasa waswas dan terus menggunakannya hampir dua tahun,” katanya semalam.
Shahira memberitahu, dia gembira apabila produk tersebut mendatangkan kesan yang sangat cepat pada kulit mukanya.
“Kulit memang jadi bersih dan licin, namun kecantikan itu tidak kekal apabila lama kelamaan kulit saya menjadi sensitif.
“Apabila kena cahaya matahari, kulit cepat merah dan seakan-akan melepuh,” ujarnya.
Katanya, dia mengambil keputusan untuk berhenti menggunakan produk itu selepas kira-kira tiga bulan, namun malangnya kulit menjadi semakin teruk.
“Wajah saya mula ditumbuhi jerawat besar, warna kulit tidak sekata dan muka bertompok-tompok dengan jeragat,” ujarnya.
Tambahnya, dia kemudian terpaksa mendapatkan rawatan doktor pakar kulit.
“Kulit saya kini semakin baik berbanding dahulu walaupun belum pulih sepenuhnya. Saya terpaksa menggunakan krim asas dan bedak yang tebal untuk menutup cela pada muka.
“Saya kini hanya menggunakan produk penjagaan kulit yang dibeli dari farmasi,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Aziah Mohd. Mokhtar, 26, berkata, set produk ‘timbang kilo’ itu dijual pada harga lebih RM100 dengan penggunaan kurang sebulan.
“Harga produk ini bukanlah murah, sebaliknya lebih mahal berbanding produk yang selamat dijual di luar sana.
“Saya menyesal guna produk itu kerana kulit wajah saya masih belum pulih walaupun telah berhenti menggunakannya lebih setahun lalu,” katanya.
Aziah memberitahu, ramai dalam kalangan rakannya membeli produk ‘timbang kilo’ dengan sebahagiannya tetap menggunakannya walaupun tahu ia mengandungi bahan berbahaya.
“Mereka bimbang kalau berhenti secara mengejut, muka akan rosak, sedangkan mereka sebenarnya tidak tahu bahaya lebih besar bakal menunggu.
“Rata-rata kami terjerat kerana masa beli tidak tahu itu produk ‘timbang kilo,” katanya.
Ujarnya lagi, ramai kawan yang terpengaruh kerana produk tersebut banyak diiklankan di Facebook dan plaform media sosial yang lain.
“Kami lihat gambar testimoni pengguna yang kulitnya sangat halus mulus, licin bak kulit telur. Siapa yang tidak mahu cantik dalam masa singkat,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Zira, 33, berkata, kulitnya terasa gatal dan merenyam-renyam apabila menggunakan produk yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Saya tanya penjual kenapa produk ini membuatkan kulit wajah jadi gatal, dia hanya minta saya tahan kerana kononnya itu hanya tindak balas pada kulit untuk bunuh kuman pada muka.
“Lebih teruk, apabila muka saya kena panas, wajah akan rasa pedih apabila terkena peluh. Memang seksa apabila saya terpaksa mengelakkan diri daripada berada di luar ketika panas terik,” katanya.
Katanya, ramai juga yang menggunakan produk kecantikan ‘timbang kilo’ dari Thailand dan berharap pihak berkuasa segera membanteras aktiviti penjualan produk itu terutama di media sosial.














