fbpx
Dianggarkan lebih 100,000 orang memenuhi kawasan Itaewon di Seoul, Korea Selatan bagi menyambut Halloween baru-baru ini.

Bahana berasak-asak ketika perhimpunan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK seperti biasa, rumah pengebumian di Seoul, Korea Selatan pada hari itu dipenuhi mayat-mayat yang kebanyakan masih muda.

Ia turut dipenuhi oleh ibu bapa yang sedang berduka dengan kematian anak-anak mereka termasuk seorang lelaki dikenali sebagai Sim bersama isterinya yang menunggu di situ dengan riak wajah sedih.

Salah sebuah bilik di rumah pengebumian itu menempatkan mayat anak lelaki mereka yang dikenali sebagai James Sim berusia 28 tahun.

Di sebuah bilik berasingan terdapat mayat rakan kepada anak mereka yang dikenali sebagai Yoon, sementara teman wanita James ditempatkan di sebuah rumah pengebumian lain di Seoul.

“Mereka telah pergi ke Itaewon bersama-sama rakan lain untuk menyambut Halloween.

“James suka keluar malam bersama-sama rakan-rakannya dan dia yang mengajak mereka untuk pergi ke situ,” kata ibu James kepada agensi berita tempatan.

Kegembiraan James dan rakan-rakannya untuk menyambut Halloween telah menjadi satu tragedi buat mereka.

James merupakan salah seorang daripada 156 orang yang maut dalam kejadian rempuhan ketika sambutan festival Halloween yang diadakan di Itaewon.

“Ketika mereka terperangkap dalam rempuhan maut ini, dua daripada rakan-rakannya yang lain berjaya keluar untuk menyelamatkan diri.

“James, teman wanitanya dan Yoon tidak dapat keluar daripada rempuhan itu,” jelas bapanya.

Sebelum kejadian, dianggarkan lebih 100,000 orang yang kebanyakan memakai kostum Halloween telah berkumpul di Itaewon.

Ia bagi menyambut Halloween buat kali pertama sejak Korea Selatan melonggarkan sekatan berkaitan pandemik Covid-19.

Malangnya, satu rempuhan telah berlaku selepas orang ramai mula menolak antara satu sama lain bagi menyelamatkan diri ketika keadaan panik.

Rempuhan itu telah menyebabkan ramai mangsa terperangkap dan sesak nafas sebelum disahkan maut.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam kejadian tragis itu terdiri daripada remaja berusia 20-an.

“Seorang rakan memberitahu bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku di luar ketika saya sedang minum di dalam sebuah bar.

“Saya kemudian meninjau keadaan di luar dan melihat ramai orang sedang memberi bantuan pernafasan di tepi jalan,” ujar salah seorang saksi kejadian, Jeon Ga-eul.

Sementara itu, Ketua Polis Korea Selatan, Yoo Hee-keun berkata, tindak balas kecemasan terhadap rempuhan itu tidak mencukupi.

Katanya, pihak polis gagal mengambil tindakan secukupnya bagi menghalang kejadian tersebut daripada berlaku.

Menurut Hee-keun, pihak polis rasa bertanggungjawab tentang keselamatan awam disebabkan kejadian tersebut dan berikrar untuk melakukan siasatan secara terperinci.

“Pihak polis telah menerima banyak panggilan sebelum insiden itu berlaku bagi memaklumkan tentang kerisauan orang ramai, tetapi respon yang diberikan sangat kurang.

“Tindak balas polis sangat mengecewakan. Kami akan menjalankan siasatan intensif yang cepat dan ketat untuk melihat sama ada tindakan sewajarnya telah diambil selepas menerima panggilan aduan,” jelasnya.

Pihak polis memberitahu bahawa panggilan pertama yang diterima adalah sekitar 6:34 petang (waktu tempatan) iaitu beberapa jam sebelum rempuhan berlaku.

Selepas itu, polis menerima 10 lagi panggilan dalam tempoh tiga jam berikutnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck-soo berkata, tragedi rempuhan itu berlaku berpunca daripada pengurusan orang ramai yang lemah.

“Salah satu punca insiden ini adalah tentang pengurusan orang ramai. Kita kurang mendapat sokongan institusi dan tiada tindakan sistematik yang mencukupi.

“Walaupun ramai pegawai polis dikerahkan ke Itaewon, mereka mempunyai kuasa yang terhad untuk mengawal orang ramai susulan tiada peraturan lengkap untuk tujuan itu,” katanya.

ORANG ramai kelihatan berasak-asak sewaktu konsert Fally Lpupa di Stadium Martyrs, Republik Demokratik Congo baru-baru ini.

Tambahnya, beliau berikrar untuk mempertingkat peraturan berkaitan bagi mengelak bencana serupa berulang sambil menyatakan bahawa punca kejadian itu akan diketahui selepas polis menyelesaikan siasatan.

Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol berkata, tragedi itu mendedahkan tentang kepentingan pengurusan perhimpunan ramai dan negara tersebut kurang penyelidikan tentang perkara itu.

“Daripada mempertikaikan sama ada festival ini mempunyai penganjur atau tidak, lebih baik kita fikirkan keselamatan orang ramai dan langkah segera yang boleh diambil.

“Saya mencadangkan penggunaan dron dan keupayaan digital lain untuk menguruskan perhimpunan ramai pada masa hadapan agar peristiwa ini tidak berulang lagi,” terangnya.

Selain di Korea Selatan, beberapa hari lalu telah berlaku satu lagi insiden rempuhan yang menyebabkan 11 orang terkorban di Republik Demokratik Congo (Congo).

Insiden tersebut berlaku ketika konsert bintang muzik Afrika, Fally Lpupa yang diadakan di Stadium Martyrs.

Stadium terbesar di Congo itu mampu menampung sehingga 80,000 penonton pada satu-satu masa.

Menteri Dalam Negeri, Daniel Aselo Okito menyalahkan pihak penganjur terhadap insiden yang meragut nyawa pengunjung itu.

Menurutnya, stadium berkenaan telah menerima jumlah pengunjung yang luar biasa sehingga melebihi kapasiti 100 peratus.

“Seramai 11 orang meninggal dunia termasuk dua anggota polis kami.

“Saya kesal dengan indisen ini dan menegaskan pihak penganjur harus dihukum di atas kejadian itu,” katanya.

Salah seorang anggota polis di lokasi memberitahu, kematian berpunca daripada rempuhan sehingga menyebabkan mangsa lemas.

Sementara itu, pada 5 November tahun lalu, seramai 10 orang maut susulan rempuhan di Festival Muzik Astroworld yang berlangsung di Houston, Amerika Syarikat.

Lapan orang meninggal dunia pada malam konsert dan dua lagi di hospital pada hari berikutnya.

Dianggarkan 25 mangsa dimasukkan ke hospital dan 300 yang lain dirawat kerana cedera. Punca kematian disebabkan sesak nafas kerana kehadiran pengunjung yang ramai.

Lebih 50,000 orang hadir dalam festival itu yang dikendalikan oleh penyayi rap, Travis Scott.

“Saya dan rakan-rakan mengalami trauma selama berbulan-bulan selepas kejadian itu.

“Sehingga hari ini, saya tidak selesa dengan suasana sesak,” kata Pixley yang merupakan salah seorang pengunjung festival itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN