fbpx
RIZKY FEBIAN

Penangan cinta Rizky Febian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“RIZKY sayang ayah! Oh Mahalini.”

Ungkapan tersebut antara yang paling diingati sepanjang berlangsungnya konsert Rizky Febian Live In Kuala Lumpur di Zepp KL pada 20 Oktober lalu.

Bukan itu sahaja, kegilaan peminatnya yang sanggup beratur seawal 10 pagi iaitu sekitar 10 jam sebelum konsert juga satu semangat luar biasa, boleh juga dianggap satu kegilaan terhadap penangan pemilik nama pentas Rizky Febian itu.

Tepat pukul 8.30 malam, Rizky menyita pesona peminat dengan nyanyian bertenaga menerusi lagu Reuni dan Cuek.

Kehebatan vokal anak pelawak terkenal Indonesia, Sule itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Penuh bertenaga dan celotehnya bagai hujan, itu antara gambaran lain yang boleh diberikan pada malam konsert tersebut.

“Ini pertama kali saya mengadakan sebuah konsert di Malaysia dan tidak pernah ada dalam fikiran saya akan ada acara besar sebegini.

“Hal yang membuat saya teruja adalah telah menempuh era pandemik selama dua tahun.

“Malam ini kita terus bahagia dan menari bersama,” katanya memulakan bicara sebelum berhabis tenaga mendendangkan 16 buah lagu.

Ketika lagu Salah, Ragu dan Mantra Cinta mula berkumandang, Zepp KL bergema dengan sorakan gemuruh penonton yang hadir.

Ternyata kecanduan mereka terhadap penyanyi kelahiran Bandung, Jawa Barat itu terlalu kuat.

HADIR dengan dua set busana, sut hitam dan kemeja putih, Rizky meraikan detik bersejarah dalam karier seninya di depan 2,400 penonton
di Zepp KL.

“Jika anda mahu meraih kejayaan seperti saya, tipnya cuma satu iaitu sayangi orang tua kita kerana restu mereka membuatkan saya berdiri di sini.

“Doa mereka untuk kita sangat bermakna,” ujarnya.

Pada pertengahan lagu, dia sekali lagi menggamatkan dewan apabila menukar lirik Ragu ‘Oh! My Lady’ kepada ‘Oh! Mahalini’ iaitu nama kekasih hati yang turut hadir memberi sokongan kepadanya malam itu.

Memasuki babak kedua, jejaka berusia 24 tahun itu mengukir senyuman pada setiap wajah penonton yang hadir menerusi lagu Terlukis Indah secara solo.

Mendendangkan 16 buah lagu, kehadiran Rizky mengubati sedikit kecanduan peminat yang telah mengikuti perkembangannya sejak 2015. – AFIQ RAZALI

Sekali lagi mengusik emosi penonton, pemilik nama penuh Rizky Febian Adriansyah Sutisna itu mendedahkan impian untuk membawa ibunya, Lina Zubaedah ke konsert solonya tidak kesampaian apabila wanita tersayang itu meninggal dunia pada 2020.

“Satu penyesalan dalam hidup sehingga hari ini ialah tidak berpeluang membawa ibu menghadiri konsert solo saya.

“Namun saya yakin, ibu pasti tersenyum di sana melihat anaknya mampu berdiri di sini dengan karya-karya seninya.

“Di panggung ini, bersaksikan semua orang, saya sayang ayah. Dialah sosok inspirasi saya,” ucapnya sebelum mendendangkan Hingga Tua

Bersama dan Indah Pada Waktunya ditujukan khas buat keluarga tercinta.

TERBUKA soal cinta, Rizky bahkan mendedikasikan sebuah momen indah dalam konsert buat kekasihnya, Mahalini yang turut hadir memberikan sokongan.

Tidak berhenti membuat kejutan, Rizky turut mendendangkan Seperti Kisah ditujukan istimewa buat Mahalini.

Dia juga menyifatkan Mahalini sebagai individu teristimewa yang sentiasa ada pada waktu susah dan senang.

“Kini saya dalan fasa takut kehilangan. Semoga dengan lagu yang saya sampaikan ini, dapat membuka hati kamu untuk terus menjaga apa sahaja untuk diri ini,” katanya lagi.

Persembahan yang berlangsung selama dua jam tersebut seterusnya ditutup dengan tiga buah lagu, Makna Cinta, Kesempurnaan Cinta dan Penantian Berharga.

Rizky mengakui sangat gembira dapat melestarikan sebuah konsert di luar negara kelahiran bahkan langsung tidak menyangka tiket konsertnya habis terjual dalam masa satu jam.

Bayangan bapa

Ditemui pada sidang akhbar sebelum konsert, Rizky mengakui mengambil masa lama untuk bebas daripada diselimuti populariti bapanya.

“Orang ramai tahu saya anak Sule dan lebih empat tahun pada awal kemunculan, saya berusaha untuk lari daripada bayangan populariti bapa.

“Saya berusaha berdiri sendiri dan lepas daripada nama ayah.

“Kini usaha tersebut berhasil dan mampu mengadakan konsert bertaraf antarabangsa di negara jiran,” jelasnya.

Bakal menghasilkan album baharu pada tahun depan, dia memberitahu akan mengekalkan irama pop yang berjaya menaikkan namanya sebelum ini.

“Saya akan konsisten dengan irama tersebut dan nampaknya jenis muzik sebegitu diterima baik oleh peminat di Indonesia serta di Malaysia.

“Mungkin lagu yang akan dihasilkan kelak lebih segar dan dapat menyentuh jiwa pada pendengar,” tutupnya.

ANAK kepada pelawak terkenal Sule, Rizky Febian menyita peminat di Malaysia dengan kehebatan vokal yang tiada bandingan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN