fbpx
FOUZIAH GOUS

Hijrah bukan lesen kecam orang – Fouziah Gous

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“KITA berubah mencari (Tuhan), tak patut disebabkan manusia.”

Demikian penegasan yang terluncur dari bibir Fouziah Gous atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd. Gous berhubung pegangan akidah, sementelah ramai golongan alim ulama sekarang terjebak pelbagai kisah sensasi.

Fouziah, 40, berkata, dia sendiri berubah bukanlah disebabkan manusia bahkan tidak kerana suami tersayang, Mohd. Zhafran Md. Yusof.

“Saya pernah bergaduh dengan suami masa awal-awal dahulu. Saya kenal dia sewaktu belum bertudung.

“Orang kutuk saya (tak bertudung).Orang cakap, suami tanggung dosa. Sampai kami bergaduh bila suami tunjukkan video kalau tak bertudung, dia yang kena tanggung dosa.

“Saya seorang yang suka berdebat. Orang komen dalam laman sosialnya dan pada waktu itu suami belum lazim lagi dengan dunia selebriti.

Segala kritikan orang ramai, terpalit juga kepadanya,” ujarnya kepada HibGlam, baru-baru ini.

PENGALAMAN dibesarkan dalam keluarga berdarah campur menjadikan Fouziah seorang yang sangat menghormati kepercayaan dan pegangan hidup orang lain.

Kerana Allah

Anak bongsu daripada lima beradik itu mendedahkan, penghijrahannya sejak 2018 bukanlah didasari faktor paksaan suami ataupun orang sekeliling tetapi kerana Allah SWT.

“Saya cakap dengan suami, kalau saya nak pakai tudung sebabnya bukan datang daripada dia.

“Saya pakai hanya kerana Allah SWT. Apatah lagi untuk motivasi tersebut datang daripada orang luar,” ujarnya.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, dia tidak mahu andai suatu hari saat suami tiada lagi di sisi, tudung yang dipakainya ‘terbang’ begitu sahaja.

“Saya tak nak kalau suatu hari nanti suami tiada, tiba-tiba saya dah tak pakai tudung.

“Kiranya selama ini umpama saya pakai tudung kerana dia.

“Bukan begitu. Sudah tentu saya melalui proses-proses perubahan (untuk jadi muslim yang lebih baik).

“Sungguhpun begitu, saya tak rasa orang yang tidak bertudung itu jahat atau mereka tiada niat nak jadi baik.

“Saya tak rasa fizikal seseorang melambangkan keperibadian mereka. Kita pun tak tahu, entah-entah, mereka lebih baik berbanding kita.

“Kadang-kadang seseorang itu bising sana sini tapi di belakang, mereka lebih baik daripada apa yang kita nampak,” terangnya penuh maksud mendalam.

MASIH melalui proses pembelajaran, Fouziah tidak meletakkan dirinya individu yang layak menghakimi orang lain. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Iman tak terbantut

Sehubungan itu, pelakon filem Sifu & Tongga itu menegaskan, tahap iman atau motivasi seseorang untuk belajar agama dengan lebih mendalam tidak sepatutnya terbantut disebabkan orang lain.

“Jangan biarkan iman terbantut kerana orang lain. Insya-Allah, kalau berubah kerana diri sendiri dan Allah SWT, akan dipermudahkan perjalanan kita ke arah lebih baik,” ulasnya.

Dibesarkan dalam latar keluarga berdarah campur, Fouziah berkata, itu antara sebab mengapa dirinya sangat menghormati kepercayaan dan pegangan hidup orang lain.

“Saya dibesarkan dengan pelbagai bahasa. Keluarga bapa saya bercakap bahasa Urdu. Sementara ibu saya pula dibesarkan dengan budaya India Muslim yang menggunakan bahasa bahasa Tamil.

“Bapa saya boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa antaranya Mandarin, Urdu, Tamil dan Melayu.

“Saya membesar dengan cara yang sangat mengelirukan tetapi semua itu membuatkan diri sangat menghormati pegangan atau kepercayaan orang lain.

“Janganlah kerana seorang dua manusia di luar sana, kita salahkan agama. Kita pandang agama dari sudut yang positif. Jangan disebabkan manusia, agama pula disalahkan. Itu tidak adil,” tegas Fouziah.

Mengambil pendekatan tidak menghakimi membabi buta sesiapa pun, getus Fouziah, lebih baik fokus diletakkan terhadap perkara-perkara yang berfaedah berbanding berkata buruk tentang orang lain.

“Saya tidak menghakimi, itu bukan tugas saya.

“Sampai sekarang, saya percaya sesiapa yang sedang diuji atau dituduh dengan pelbagai tohmahan, selagi perkara yang digembar-gemburkan itu tidak dilihat oleh mata kepala sendiri, maka saya memilih melihat benda positif sahaja.

FOUZIAH bertegas, penghijrahan yang dilalui sejak 2018 bukan disebabkan suami tetapi ikhlas kerana Allah SWT.

Masih istiqamah

“Jika tidak melibatkan diri saya, tak menyusahkan atau tidak berhutang, jadi lebih baik jaga diri sendiri.

“Diri saya sendiri pun masih istiqamah dari segi pakaian. Pakai tudung bukan sekadar nak tutup aurat sahaja. Amalan kita itu paling penting,” ulasnya lagi.

Pada masa sama, Fouziah juga mengingatkan semua orang termasuk diri sendiri untuk bersikap baik, terutama dengan orang sekeliling.

“Tanya diri kita sama ada jaga ibu bapa, hulurkan bantuan kepada orang susah di sekeliling ataupun membantu saudara-mara yang memerlukan bantuan ataupun tidak.

“Perkara itu yang kita kena fokus berbanding sibuk hal orang lain,” katanya.

Sebelum menggulung bicara, Fouziah menegaskan bahawa sesungguhnya tiada manusia yang sempurna.

Jika aib dibuka orang lain, itu ujian Ilahi yang perlu dihadapi dengan tenang.

“Saya selalu fikir, mesti ada sebab mengapa seseorang diuji. Manusia ada cela yang tak dapat elakkan.

“Ketika aib seseorang itu dicanang, jangan lupa kebaikan yang pernah dicurahkannya kepada orang lain.

“Tapi itulah, salah sikit, habis dilupakan segala kebaikan yang pernah diberikan.

“Saya tak suka runsingkan kepala. Cuma ambil yang positif berbanding fikir pasal negatif. Kalau fikir orang lain jahat, kesannya berbalik kepada kita,” tutupnya.

FOUZIAH ambil pendekatan tidak mencari kesalahan atau memikirkan hal orang yang tidak terlibat secara langsung dalam hidupnya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN