fbpx

Projek mega ayam diarah tutup, henti kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bantahan yang dilakukan penduduk semalam berhubung projek mega ayam di tapak projek berkenaan.

KUALA LANGAT – Pemaju projek mega ayam telah diarahkan memberhentikan serta-merta kerja-kerja pembangunan reban ayam tertutup di dua lot Mukim Batu berhampiran Kampung Tanjung Sepat Darat di sini.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata, pihaknya turut mengeluarkan dua notis iaitu pemberitahuan dan kesalahan kepada pemaju projek pada 18 Oktober lalu kerana menjalankan kerja tanah tanpa kelulusan dan kebenaran pihaknya.

Katanya, pemaju juga telah diarahkan membaikpulih kerosakan Jalan Jati (Jalan Jabatan Kerja Raya) susulan kerja-kerja tanah tersebut.

“Pemaju dilihat akur dengan arahan memberhentikan kerja tersebut dan tapak telah dipalang dengan pita keselamatan oleh MPKL.

“Seperti sedia maklum, bantahan telah dilakukan oleh penduduk setempat mendakwa kerja pembinaan bangunan reban ayam jenis tertutup tersebut telah merosakkan struktur jalan ekoran daripada kenderaan yang membawa muatan berat bagi tujuan tambakan tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Kosmo! hari ini melaporkan penduduk Kampung Tanjung Sepat Darat di sini bimbang kesihatan mereka akan terjejas ekoran berlaku pencemaran bau dan pembiakan lalat yang didakwa berpunca daripada projek mega penternakan ayam di situ.

Selain itu, penduduk juga mendakwa kawasan perparitan di situ juga tercemar susulan jarak tapak projek dengan kawasan perumahan hanya satu kilometer.

MPKL memaklumkan pihaknya ada menerima permohonan cadangan pembinaan bangunan reban ayam jenis bertutup, rumah pekerja dan lain-lain kemudahan sokongan daripada pihak pemaju sebelum ini.

Tambahnya, permohonan itu telah diluluskan dengan syarat perlu mematuhi keperluan teknikal dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (JKOSC) bil. 9/2022 bertarikh 10 Mei lalu.

“Bagaimanapun, kelulusan penuh kebenaran merancang bagi pembangunan ini masih belum dikeluarkan MPKL.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat pada 18 Oktober lalu telah mengarahkan agar pembangunan bangunan reban ayam jenis tertutup tersebut dihentikan dan satu sesi perbincangan diadakan melibatkan penduduk dengan pihak pemaju berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, MPKL menegaskan pihaknya tidak lagi meluluskan permohonan reban ayam tertutup untuk tujuan komersil di kawasan zon pertanian bermula 24 Ogos 2022 selaras dengan Rancangan Tempatan Kuala Langat (Pengubahan 2) 2030 yang telah diwartakan.

“Berdasarkannya, penternakan ayam hanya dibenarkan di kawasan Agroternak Batu (BPK 7.4 : Batu Laut) dan kawasan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri sahaja,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI