Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
KEMAMAN – Dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis berjaya ditahan polis di lokasi berasingan di Pantai Chendor, Kuantan, Pahang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua penganggur yang masing-masing berusia 37 tahun dan 38 tahun tersebut ditahan pada pukul 2 pagi.
“Suspek pertama berjaya dikesan cuba menyorok di dalam sebuah belukar berhampiran Pantai Chedor.
“Dia dipercayai bersembunyi setelah identitinya dan rakan sejenayahnya yang menyamar sebagai anggota polis untuk memeras ugut 10 buruh ladang warga Indonesia tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, ujian air kencing kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methaphitamine selain mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan mencuri.
Menurut beliau, dua lelaki itu direman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan hajat dua lelaki mahu memeras ugut 10 buruh ladang warga Indonesia dengan menyamar sebagai anggota polis tidak kesampaian apabila modus operandi jenayah mereka berjaya dikesan pegurus ladang tersebut di Felra Sungai Pergam, Hulu Kemaman dekat sini semalam. – K! ONLINE














