NAIM DANIEL bersama kumpulan Dolla,

Lagu paling sedih, panjang Naim, Dolla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SATU pengalaman yang tak terjangka, hasilnya luar biasa!”

Demikian ayat yang meniti di bibir Naim Daniel tatkala memulakan bicara mengenai kolaborasinya dengan Dolla menerusi lagu Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat (MIALYPSPKB).

Kolaborasi tersebut buat julung kalinya dilakukan bersama kumpulan wanita yang dianggotai oleh empat si jelita, Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya.

Kedua-dua nama itu memiliki reputasi besar dalam industri seni dan apabila digabungkan, ternyata memberi hasil yang luar biasa.

Bercerita tentang jalinan antara mereka, Sabronzo memberitahu rasanya seperti bermimpi ketika menerima khabar akan bekerja bersama pelantun lagu Sumpah itu.

“Peluang hebat ini bukan selalu hadir dan kami tidak berfikir panjang untuk berkata ‘ya’, lebih-lebih lagi dengan penyanyi yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) seperti Naim.

“Paling penting, lagu ini jauh ‘lari’ dari identiti Dolla yang sebelum ini sangat dikenali menerusi karya rancak dan energetik. Mencabar kemampuan kami sebagai penyanyi berkumpulan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

MELAWAN arus, Dolla yang dianggotai Tabby, Sabronzo, Syasya dan Angel mencabar diri dengan menyampaikan sebuah lagu berentak balada, berbeza dengan kelaziman muzik mereka. – MUHAMAD IQBAL ROSLI & ihsan Universal Music

Teruja berkongsi tentang lagu tersebut, pemilik nama penuh Wan Sabrina Wan Rusli itu berkata, MIALYPSPKB adalah sebuah karya yang bukan mengisahkan tentang cinta semata-mata.

Bahkan, mereka sebagai penyanyi juga memberi peluang kepada para pendengar untuk menentukan sendiri maksud tersirat karya tersebut mengikut kefahaman jiwa masing-masing.

“Pada dasarnya, lagu ini mengenai muhasabah diri apabila mengharapkan orang lain dapat merasai dugaan atau situasi yang sedang ditanggung.

“Mesej lagu ini sangat jelas dan bukan hanya berkisarkan cinta walaupun lirik dan melodinya kedengaran ke arah itu.

“Kami memberi peluang untuk semua dan pendengar berhak menentukan maksud lagu ini mengikut situasi yang sedang mereka hadapi,” ujarnya.

Keluar dari kotak klise muzik mereka, Tabby mengakui MIALYPSPKB memberi cabaran hebat kepada mereka berempat.

“Ini merupakan kali pertama kami memberanikan diri membawa genre sebegini tetapi bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan hebat sepanjang proses rakaman dijalankan.

“Setiap anggota Dolla diberikan bahagian untuk dinyanyikan dan kami sama-sama membantu dalam memperkemaskan lagi lagu ini supaya menjadi hadiah yang indah buat peminat,” ujarnya.

GABUNGAN lima suara dalam MIALYPSPKB, Naim bersyukur lagu ciptaannya berjaya didendangkan dengan cemerlang bersama Dolla.

Tajuk panjang

Menghurai tanda tanya mengenai tajuk lagu, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Bahari memberitahu, 10 patah perkataan dalam judulnya cukup menggambarkan jalan cerita sebenar yang ingin disampaikan.

“Saya pun tak tahu macam mana nak pendekkan tajuk lagu ini kerana dari awal memang diberi judul begitu. Susah nak pilih perkataan yang sesuai, jadi terus letak salah satu baris dalam lagu ini sebagai tajuk.

“Ini satu kelainan. Kalau dengar lirik pun sudah straight forward, sebab itu saya letak tajuk ini bagi menggambarkan kesedihan yang terlampau dalam lirik,” kongsinya.
Memilih Dolla sebagai rakan duet, kata Naim, dia mahu memberi ‘warna’ berbeza dalam lagu yang sudah dihasilkannya sejak setahun lalu.

SIKAP ‘gila-gila’ dan energetik Dolla diyakini menjadi daya tarikan terhadap kemunculan bersama Naim dalam single balada kali ini.

“Antara sebab lagu ini lambat dilancarkan adalah kerana faktor masa. Saya sudah siapkan lagu ini setahun lalu. Lirik lagu ini sangat senang difahami dan saya gunakan bahasa mudah serta bersesuaian dengan masyarakat sekarang.

“Pada awalnya karya ini dicipta untuk penyanyi lelaki, tiba-tiba saya dapat ilham untuk dibawakan secara duet bagi menambah warna lebih menarik,” ujarnya lagi.

Mengenai pembahagian nyanyian solo, penyanyi berusia 25 tahun itu mengakui tidak ada masalah mereka menyanyikan sebuah lagu secara beramai-ramai.

Katanya, meskipun terdapat lima suara, mereka tidak berdepan situasi kalut menyampaikan bahagian masing-masing dengan cukup baik.

“Semua ada kekuatan tersendiri, saya kagum Dolla berani mencabar kemampuan diri membawa sebuah lagu balada.

“Saya memilih Dolla kerana mereka memiliki banyak kelebihan yang belum diterokai.

“Mereka sangat ‘gila-gila’, baik dan energetik. Saya tidak berdepan sebarang kesukaran untuk kerjasama ini kerana sepanjang proses rakaman dan penggambaran video muzik, kami bukan seperti sedang bekerja, lebih kepada berseronok dengan kerja yang dibuat.

“Alhamdulillah karya ini dapat disampaikan dengan cemerlang dan terima kasih kepada Dolla kerana berjaya meletakkan justifikasi yang baik terhadap lagu ini,” tutupnya.

TIDAK mampu mencari nama lain, Naim terus meletakkan sepotong ayat dalam lagu baharunya duet bersama Dolla, Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat (MIALYPSPKB).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN