PETALING JAYA – Nasib tidak menyebelahi seorang lelaki apabila sifat murninya membantu mangsa kemalangan di lebuh raya baru-baru ini akhirnya diuji apabila dompetnya telah dicuri dan wang simpanannya turut diambil.
Kisah tersebut dialami oleh Abdullah Sazali yang memaklumkan ketika kejadian kemungkinan dompetnya telah terjatuh tanpa sedar sebelum diambil oleh individu tidak bertanggungjawab sejam selepas dia beredar dari lokasi menuju ke ibu kota.
“Kisah sedih hari ini (Sabtu lalu). Aku tolong orang kemalangan tengah lebuh raya tadi. Sebab aku orang pertama yang nampak dia (mangsa) kemalangan, dah tolong hubungi ambulans semua, polis dah sampai, aku naik kereta dan beredar dari tempat kejadian.
“Kemudian baru perasan dompet dah tidak ada, aku semak Maybank2u dah ada orang guna ‘paywave’, tak ada rezeki aku malam ini,” ciapnya di Twitter baru-baru ini.
Menerusi tangkap layar aplikasi Maybank2u yang dikongsikan Abdullah, sebanyak RM400 wang simpanannya telah digunakan oleh si pencuri di sekitar Batu Cave, Kuala Lumpur.
Bercerita lanjut, Abdullah berkongsi situasi kemalangan di mana terdapat seorang mangsa pengsan di dalam kereta jenis Toyota Vios dan dia bersama beberapa orang awam cuba membantu keadaan di lebuh raya berkenaan.
“Ada seorang penumpang Vios pengsan, pintu kereta ‘stuck’, aku tolong tarik buka semua.
“Berapa kali juga Vios itu nak kena hentam atas lebuh raya, dekat selekoh, hujan lebat tengah malam, memang banyak kenderaan. Nasib baik ada orang lain berhenti tolong juga suluh lampu supaya kenderaan lain perlahankan kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














