MELAKUKAN kebajikan bukan sahaja boleh dilaksanakan secara bersendirian, tetapi juga secara bersama-sama dengan mereka yang mempunyai misi serupa.
Itulah yang dilakukan syarikat Mondelez International (Malaysia) menerusi jenama coklatnya, Cadbury Dairy Milk yang telah bekerjasama dengan rangkaian pasar raya popular, MYDIN baru-baru ini.
Mereka telah berkolaborasi untuk menghulur tangan buat masyarakat yang kurang bernasib baik demi memberi sinar penuh makna.
Dana yang terkumpul melalui inisiatif Menyentuh Hati Dengan Pembelian Ikhlas ini akan disalurkan dalam bentuk bekalan makanan bagi tempoh lima bulan kepada enam rumah kebajikan di Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan memberi inspirasi dan galakan kepada rakyat Malaysia agar saling berkongsi serta membantu antara satu sama lain.
Inisiatif ini bagai menggalakkan rakyat ‘hulurkan tangan dan cairkan hati’ yang tersayang.
Antara inisiatif khas dalam kempen tersebut ialah sumbangan 50 sen kepada inisiatif MYDIN Prihatin bagi setiap dua pembelian produk Cadbury di mana-mana cawangan MYDIN.

PENYAMPAIAN cek berjumlah RM30,000 kepada inisiatif MYDIN Prihatin oleh Mondelez.
Jumlah kutipan itu akan diagihkan kepada rumah kebajikan terpilih di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Johor dan Kelantan dalam bentuk bekalan makanan untuk lima bulan.
Enam rumah kebajikan yang akan menerima bekalan makanan ialah Persatuan Pemulihan Dalam Komuniti Bangi (PPDK), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Sinar Harapan Shah Alam, Pusat Kebajikan dan Penjagaan Kanak-Kanak Istimewa Kuala Lumpur, Pusat Jagaan Persatuan Disleksia Sarawak, Persatuan Kebajikan Orang Kurang Upaya Xi Le Er di Johor dan Pusat Jagaan Down Syndrome di Kelantan.
Menurut Pengarah Pemasaran Malaysia, Singapura dan Eksport, Mondelez International, Arpan Sur, kempen ini bertujuan memberi inspirasi dan galakan kepada rakyat Malaysia agar saling berkongsi, selain membantu antara satu sama lain.
“Usaha sama ini telah menghasilkan hubungan yang bermakna dengan rakyat Malaysia di seluruh negara dan membantu rumah-rumah kebajikan terpilih dengan segala yang diperlukan.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada MYDIN atas perkongsian mereka serta usaha berterusan untuk menyokong masyarakat setempat,” katanya.
Cadbury Dairy Milk dan MYDIN menganjurkan satu acara penyampaian cek baru-baru ini di pusat Persatuan Pemulihan Dalam Komuniti Bangi (PPDK@PLPP Bangi) sebagai kemuncak kempen.
Kehadiran para sukarelawan membawa keceriaan buat kanak-kanak dari rumah kebajikan yang menerima bantuan.
Majlis itu dihadiri Pengurus Kanan Pemasaran Coklat, Malaysia dan Singapura, Mondelez International, Ng Boon Siew dan Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Tuan Ahimmat Mydin Mohamed serta Pengerusi PPDK Bangi, Mohd. Faun Yusof.
Ahimmat berkata, MYDIN komited dalam memastikan kebajikan komuniti melalui inisiatif MYDIN Prihatin.

“Kami amat gembira dapat menjalin kerjasama ini, di samping mengajak orang ramai khususnya pelanggan kami untuk turut serta menjayakan usaha membantu golongan memerlukan.
“Sebagai syarikat korporat, kami sentiasa bekerjasama dengan rakan strategik bagi meneruskan usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik,” kata Ahimmat.















