BAGAN SERAI – Ada antara suami yang ingin berpoligami terpaksa bernikah di Thailand kerana tidak mendapat kelulusan untuk berkahwin di negara ini disebabkan tidak berkelayakan dari segi kewangan untuk berkahwin lebih daripada satu.
Menurut Mat Fazlee Shahbudin, 35, dia mengambil keputusan untuk bernikah di sempadan kerana terpaksa berhadapan kerenah birokrasi di negara ini.
“Isteri pertama menyarankan agar saya bernikah dengan teman wanita kerana tidak mahu saya terjerumus ke kancah perzinaan.
“Saya telah menyatakan keinginan itu dengan membawa sekali isteri pertama di sebuah pejabat agama di negara ini, namun didapati tidak layak setelah melampirkan penyata kewangan,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurutnya, dia tidak meneruskan permohonan itu kerana menganggap permintaannya akan ditolak sekali lagi selain tidak mahu membuang masa.
“Saya mengambil keputusan untuk pergi bernikah di Pejabat Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand.
“Keputusan itu mendapat sokongan isteri pertama dan keluarganya, teman wanita serta ahli keluarganya juga,” katanya.
Ujarnya, dia pergi ke Thailand dengan pertolongan rakannya yang mengambil upah untuk membawa pasangan bernikah ke negara jiran tersebut.
“Caj bayaran keseluruhannya sebanyak RM2,500 untuk menguruskan pernikahan dan pendaftaran di Pejabat Konsulat Malaysia sehingga selesai.
“Saya mendapati proses untuk melakukan pernikahan di Pejabat Majlis Agama Islam di Songkhla adalah mudah dan ramai pasangan dari negara kita bernikah di sana,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE















