PENULARAN pandemik Covid-19 ditambah dengan perkembangan era digital semasa, menjadikan orang ramai lebih mahir dalam membeli-belah dalam talian.
Hampir setiap orang, muda atau tua, wanita atau lelaki sudah mempunyai platform e-dagang yang menjadi seperti’ poket ajaib’ pada telefon pintar masing-masing.
Namun, stigma membeli-belah dalam fikiran masyarakat sentiasa dikenal pasti sebagai hobi dilakukan oleh wanita.
Adakah kemudahan membeli-belah dalam era digital semasa masih menjadikan wanita sebagai pengguna yang mendominasi trend membeli-belah dalam talian?
Bagaimanapun, berdasarkan kajian gelagat pengguna e-dagang Malaysia yang dibuat menunjukkan, sepanjang 2021, lelaki lebih mendominasi transaksi e-dagang di Malaysia.
Pengguna lelaki yang mendominasi urus niaga e-dagang lebih daripada wanita merupakan trend berterusan dari 2020, dengan peratusan yang semakin meningkat.
Ini mungkin disebabkan fungsi lelaki sebagai ketua isi rumah yang membuat pembelian secara online semasa pandemik.
Dari segi kategori produk yang dibeli oleh pengguna lelaki juga terdapat perubahan antara tahun ini dengan tahun sebelumnya.
Selain e-dagang yang semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian orang ramai, kehadiran pelbagai kaedah pembayaran digital seperti beli dulu, bayar kemudian juga memudahkan untuk membentuk tabiat membeli-belah dalam talian.
Syarikat pemain dalam industri pembayaran kredit digital, dilihat mengalu-alukan trend ini.
Ia dilihat sebagai isyarat positif ke arah keterangkuman akses kepada perkhidmatan digital yang semakin mudah diakses.
Kini ia menepati ciri ciri pengguna lelaki yang tidak suka kepada pembelian yang terlampau banyak protokol.
Trend lelaki yang mendominasi transaksi e-dagang juga bukan sahaja dilihat di Malaysia.
Di Amerika Syarikat, pengguna lelaki juga lebih cenderung untuk membeli-belah dalam talian pada setiap hari dan mingguan.

WANITA lebih setia kepada satu platform e-dagang berbanding kaum Adam.
Sementara itu, pengguna wanita cenderung membeli-belah antara satu hingga empat kali sebulan sahaja.
Selain lelaki yang terus mendominasi transaksi dalam e-dagang, berikut adalah beberapa penemuan menarik lain berkaitan gelagat membeli-belah dalam talian berdasarkan jantina daripada penyelidikan gelagat pengguna e-dagang di Malaysia.
Pada kadar purata, wanita membeli lebih banyak produk dalam satu transaksi.
Sepanjang 2021, pengguna wanita akan membeli lebih banyak produk melalui e-dagang, dengan purata pembelian 45 produk jika dibandingkan dengan lelaki yang membeli purata 42 produk setahun.
Tetapi lelaki akan berbelanja lebih pada setiap transaksi.
Apabila membuat transaksi, pengguna lelaki membelanjakan lebih banyak wang berbanding wanita.
Dalam pada itu, wanita lebih setia kepada satu platform e-dagang berbanding kaum Adam.
Pengguna lelaki juga cenderung untuk seimbang atau lebih daripada satu dalam memilih platform e-dagang yang mereka gunakan.
Pilihan pengguna untuk kategori produk yang dipengaruhi oleh jantina juga adalah berbeza.
Berdasarkan pilihan mereka, orang lelaki membuat hampir dua kali lebih banyak transaksi untuk kategori automotif dan elektronik.
Manakala wanita pula, membuat lebih banyak transaksi untuk keperluan makanan, kesihatan dan kecantikan serta fesyen.
Terdapat tiga kategori produk kegemaran teratas berdasarkan bilangan transaksi antara lelaki dan wanita.
Bagi pengguna lelaki, kategori produk kredit dan baucar menduduki kedudukan pertama, diikuti fesyen dan aksesori, diikuti kesihatan dan kecantikan.
Bagi wanita, produk fesyen dan aksesori berada di kedudukan pertama, kemudian produk kredit dan baucar serta produk kesihatan dan kecantikan.
Wanita membelanjakan lebih banyak wang untuk kategori produk komputer dan alat kelengkapan gajet dan aksesori.
Ini menunjukkan, pandemik telah mencetuskan pelaburan daripada pengguna wanita dalam produk yang menyokong produktiviti di rumah.
Seiring dengan kemudahan akses dan ekosistem digital yang semakin menyokong, trend membeli-belah dalam talian melalui e-dagang akan terus menjadi pilihan masyarakat Malaysia.
Ia diramalkan akan terus meningkat, dengan jumlah transaksi e-dagang masyarakat negara ini.
Pertumbuhan industri e-dagang akan berkembang seiring dengan industri pembayaran digital.
Pada masa hadapan, institusi perniagaan di Malaysia dilihat terus berinovasi kepada penyelesaian bagi memenuhi keperluan masyarakat di tengah-tengah penembusan perkhidmatan kredit yang masih rendah di Malaysia.
Ia sebagai kaedah pembayaran yang mudah diakses, selamat dan berpatutan kepada pengguna.
Selain membincangkan gelagat pengguna berkaitan jantina, kajian gelagat pengguna e-dagang Malaysia 2022 juga seharusnya turut membincangkan secara mendalam tentang gelagat pengguna ketika membeli-belah dalam talian dengan pelbagai kategori berbeza.
Ia seperti umur, produk sering dibeli, dan penggunaan kaedah pembayaran kepada trend berkaitan pembayaran digital pada masa depan.
AFIZAN AMER ialah Pensyarah Kanan
Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan
Perniagaan Universiti Teknologi Mara Negeri
Sembilan Kampus Rembau














