SHAHRUL terus memecut motosikalnya dengan laju selepas menyedari puntianak membonceng kenderaan itu. –ILUSTRASI SHAH HASAN

Bala lari sekatan jalan, kapcai dibonceng puntianak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH seram termasuk diganggu makhluk halus memang sering terjadi dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Biasanya, kisah-kisah seram diceritakan berlaku pada waktu malam sama ada ketika senja, tengah malam mahu pun pada awal pagi.

Bagi Shahrul (bukan nama sebenar), dia pernah mengalami kisah menyeramkan ketika usia remaja dan masih tinggal di kampung ketika itu.

Menurutnya, kisah tersebut terjadi kira-kira 20 tahun lalu di sebuah penempatan Felda di negeri Pahang ketika dia baru habis belajar di sekolah menengah.

“Saya memiliki motosikal terpakai yang dibeli menggunakan duit simpanan sendiri hasil mengambil upah di ladang kelapa sawit.

“Ketika itu, saya boleh dikatakan sebagai mat motor dan memang kerap bergaul dengan rakan-rakan yang juga memiliki motosikal masing-masing.

“Walaupun saya tidak pernah terlibat dalam perlumbaan haram, tetapi kerap mengikut rakan-rakan menyaksikan aktiviti tersebut terutamanya pada malam minggu,” katanya.

Ujar Shahrul, kejadian seram itu berlaku ketika dia dan beberapa rakan pergi ke sebuah lokasi perlumbaan haram yang telah diatur di sebuah jalan raya sunyi terletak agak jauh dari kampungnya.

Disebabkan masing-masing masih berjiwa muda dan kerap menunggang secara laju, dia dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk menunggang secara berasingan tanpa membawa pembonceng.

“Kebiasaannya, lumba haram ditetapkan pada tengah malam kerana ketika itu laluan jalan raya sudah sunyi dan tidak banyak kenderaan.

“Oleh kerana saya dan rakan-rakan tidak biasa dengan lokasi tersebut, kami hanya menuju ke sana dengan berpandukan papan tanda jalan, selain panduan yang diberikan beberapa rakan lain.

“Sebaik tiba, terdapat lebih 200 buah motosikal pelbagai jenis telah berkumpul dengan dua buah motosikal yang akan berlumba sudah tersedia dan menunggu waktu sesuai untuk dilepaskan,” katanya.

Katanya lagi, selepas perlumbaan selesai kira-kira pukul 2 pagi, mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah yang mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan.


MUNGKIN beginilah jalan kelapa sawit yang menjadi lokasi Shahrul disakat puntianak.

Dalam perjalanan pulang, tiba-tiba mereka terserempak dengan sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis.

Oleh kerana ada sebahagian rakan-rakannya tidak mempunyai lesen memandu, selain motosikal yang sudah diubah suai, mereka ambil keputusan untuk memecut laju dan melarikan diri daripada ditahan dan dikenakan saman.

“Sebaik tiba di satu kawasan ladang kelapa sawit, tiba-tiba saya berasakan motosikal yang sebelum itu memecut laju tiba-tiga menjadi berat dan perlahan.

“Ketika itu, saya memikirkan motosikal mungkin mengalami kerosakan akibat enjin terlalu panas setelah dipandu laju untuk tempoh lama.

“Saya cuba memberi isyarat kepada rakan-rakan lain supaya memperlahankan kelajuan, tetapi mereka terus memecut laju.

“Lebih menghairankan apabila ada beberapa rakan yang memotong saya memberi isyarat tangan dengan menunjukkan sesuatu ke arah saya,” ujarnya.

Jelasnya, tanpa memikirkan sesuatu yang pelik, dia yang bingung dengan isyarat tersebut kemudian cuba menoleh ke belakang.

Namun kata Shahrul, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati ada satu lembaga putih berambut panjang dengan wajah menakutkan berada di belakangnya.

Katanya, biasanya makhluk halus sedemikian dipanggil puntianak.
Tanpa berfikir panjang, dia terus membaca ayat-ayat suci al-Quran setakat yang mampu dan terus memecut motosikalnya selaju mungkin.

“Pada masa itu, saya tidak memikirkan tentang bahaya yang menunggu sekiranya motosikal terbabas di bahu jalan.

“Apa yang penting, saya mahu cepat sampai ke rumah dan melarikan diri daripada puntianak itu,” katanya.

Nasib Sharul baik kerana selepas lima minit, motosikalnya tiba-tiba terasa ringan kembali.

Secara tidak sengaja dia melihat lembaga putih tersebut terbang melintasi ruang atas jalan raya dengan kadar lebih laju dari motosikal dengan suara mengilai.

Sebaik tiba di rumah, dia terus masuk ke dalam bilik dan membuka bacaan ayat suci al-Quran menerusi pemain cakera padat miliknya bagi menghilangkan ketakukan dialami.

Ekoran kejadian berkenaan jelasnya, dia mengalami demam selama beberapa hari dan peristiwa menyeramkan itu tidak pernah diceritakan kepada keluarganya.

Kini kata Shahrul, setelah 20 tahun berlalu dan setiap kali pulang ke kampung bertemu rakan-rakan, kisah tersebut pasti akan menjadi antara topik perbualan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN