fbpx
ISMAIL tidak dapat menerima hakikat duit pencennya habis dicuri oleh isteri dan anak tirinya. – GAMBAR HIASAN

Habis wang pencen dikebas isteri, anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETELAH kematian isteri tercinta, kehidupan seorang lelaki warga emas yang ingin dikenali sebagai Ismail ternyata amat sunyi.

Isterinya meninggal dunia kerana masalah buah pinggang dan dia reda dengan ketentuan Tuhan ke atas dirinya.

“Setelah kematian isteri, saya tinggal bersendirian di rumah memandangkan anak-anak semuanya mempunyai keluarga sendiri dan tinggal di ibu kota.

“Hampir dua tahun saya tinggal bersendirian sebelum memilih untuk berkahwin lain dengan seorang wanita berusia pertengahan 50-an yang merupakan seorang janda,” jelasnya.

Ismail yang berusia 66 tahun memilih untuk berkahwin semula setelah anak-anak menyarankannya untuk berbuat demikian kerana sekurang- kurangnya ada individu yang menjaga makan minum dam kesihatan dirinya.

Malah dia mengenali isteri baharunya itu melalui salah seorang rakannya.

Dia yang merupakan pesara kerajaan kemudian membawa wanita itu tinggal di rumahnya.

Malah dia juga memberikan barangan kemas peninggalan arwah isterya kepada wanita berkenaan.

Pada mulanya kehidupan mereka baik-baik sahaja, sehinggalah isterinya itu membawa dua anaknya untuk tinggal dengan mereka.

“Saya tidak kisah pada mulanya untuk dia membawa anak-anaknya untuk tinggal dengan kami.

“Anak-anaknya semuanya telah besar, tetapi malangnya mereka malas untuk bekerja,” jelasnya.

Tambahnya, dia yang harus menanggung anak-anak tirinya itu.

Malah dia cuba menegur mereka agar keluar untuk bekerja, tetapi dia pula yang dimarahi.


SEORANG seorang duda mengahwini seorang janda disebabkan kesunyian selepas dua tahun kematian isteri. – GAMBAR HIASAN

Isterinya merajuk apabila Ismail menegur sikap malas anak-anak tirinya itu.

Bukan itu sahaja, kereta baharu yang dibeli juga sering digunakan anak-anak tirinya sehingga terbabit dalam kemalangan dan dia yang terpaksa menanggung kos untuk membaikinya.

Apa yang dia terkilan dengan sikap isterinya adalah dia dimarahi selepas menegur dan menyarankan untuk menghantar salah seorang anak tirinya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah ke pusat pemulihan.

Katanya, selepas kejadian itu, dia berasa tidak tenang tinggal di rumahnya dengan ada anak-anak tiri berkelakuan sedemikian.

Selain itu, Ismail menjelaskan, isterinya sering mengatakan wang perbelanjaan bulanan yang diberikan tidak mencukupi dan minta ditambah.

Dia mengakui, setelah berkahwin dia baru mengetahui isterinya itu seorang yang boros berbelanja.

“Saya tidak menceritakan hal ini kepada anak-anak saya kerana takut mereka akan marah.

“Saya hanya berdiam diri dan cuba memberi peluang kepada isteri saya untuk berubah,” jelasnya.

Setelah hampir setahun bersama, Ismail mendapati, sikap isterinya itu semakin sukar dikawal terutamanya berkaitan kewangan.

Malah isterinya itu pernah meminta meminjam hampir RM5,000 dengan alasan untuk membantu ahli keluarganya yan ditimpa kesusahan.

Tetapi selepas itu, isterinya terus diam dan langsung tidak membayarnya kembali.

Namun pada suatu hari, Ismail mendapati wang pencen bulanan yang diterima tiba-tiba hilang dalam akaun banknya.

“Saya mengesyaki ini kerja isteri dan anak-anak tiri saya.

“Pasti mereka yang mengambil kad bank saya dan mengeluarkannya.

“Saya mengesyaki isteri saya mengetahui nombor pin kad bank saya kerana kadangkala dia yang menemani saya untuk mengeluarkan wang,” katanya.

Ismail kemudian menceritakan hal itu kepada anak-anaknya dan kemudian mereka pulang ke rumah dan bertanya akan hal itu kepada isterinya.

Pada mulanya isterinya dan anak-anak tirinya tidak mengaku, tetapi setelah didesak mereka akhirnya mengaku berbuat demikian.

“Bukan itu sahaja, barangan kemas peninggalan isteri saya juga telah digadai oleh mereka.

“Saya amat kecewa sekali. Akhirnya anak-anak saya menasihati saya untuk melepaskan ibu tiri mereka sebagai jalan terbaik,” jelasnya.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya itu dan mereka akhirnya sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di Utara Semenanjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN