AKTIVITI mencandat sotong kebiasaannya dijalankan bermula bulan Mac sehingga awal musim tengkujuh setiap tahun di sekitar perairan Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun, apabila kebanyakan lokasi di perairan kedua-dua negeri itu menjadi tempat peletakan tukun tiruan, aktiviti mencandat sotong sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah tidak bermusim.
Ini kerana, tukun-tukun tiruan itu menjadi habitat dan lokasi pembiakan sotong di tengah-tengah laut.
Pencandat sotong yang juga pemancing tegar, Mohd. Faizul Hakimi Muhamad Nor, 30, berkata, kaki pancing lazimnya memilih tekong bot yang berpengalaman dan memiliki peralatan sonar untuk mengesan kawasan tukun tiruan yang menjadi lubuk sotong.
Menurutnya, kehadiran sotong tanpa musim menggamit keinginan kaki pancing meredah samudera kerana bakal memperoleh hasil yang lumayan.
“Kebiasaannya, pencandat sotong bimbang dengan keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk ribut dan laut yang tiba-tiba bergelora.
“Kejadian lemas dan insiden bot tenggelam kadang-kadang melemahkan semangat kami untuk keluar ke laut terutamanya apabila saya dan rakan-rakan sudah membuat persiapan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di jeti pendaratan ikan Semerak, Pasir Puteh baru-baru ini.
Mohd. Faizul Hakimi berkata, berdasarkan pengalaman, mencandat sotong bukan sesuatu yang sukar kerana haiwan itu mudah untuk dikendalikan semasa ditangkap.

Katanya, kebanyakan pencandat sotong gemar menggunakan joran dan kekili malah ada yang selesa menjadikan tali koyan tebal sebagai senjata utama untuk mencandat sotong.
“Paling utama untuk memikat sotong adalah kemahiran mengunjun candat sehingga ke dasar laut.
“Tali pancing mesti dihenjut dengan cara mengendur dan menegang. Tangsi mula ditarik apabila terasa sesuatu yang berat yang memberi petanda ‘twist candat’ sudah mengena,” katanya.
Menurutnya, antara jenis umpan tiruan yang digunakan untuk mencandat sotong ialah candat timah, candat mayat, candat payung, candat udang, candat dan gewang.
Katanya, nelayan yang mahir mencandat sotong lazimnya menggunakan candat payung yang diperbuat sendiri oleh nelayan menggunakan besi payung.
“Candat jenis ini perlu menggunakan umpan ikan yang dicucuk untuk menarik perhatian sotong.
“Pemberat perlu digunakan sekiranya arus bawah laut laju bagi mempercepatkan mata candat tenggelam ke dasar laut dan tidak mudah terapung,” katanya.
Katanya, bagi kaki pancing rekreasi, pelbagai jenis candat tiruan menjadi pilihan kerana ia boleh dibeli di kedai alatan memancing dan tidak perlu menggunakan ikan untuk memikat sotong.
Mohd. Faizul Hakimi berkata, kebiasaannya, dia bersama sembilan rakan menyewa bot memancing yang bersaiz besar dan memilih tekong yang dikenali sebagai Pak Cik Him yang sering membawa mereka ke lubuk sotong di perairan Besut, Terengganu.

“Kami menggunakan perkhidmatan itu dengan bayaran RM1,400 untuk satu malam. Masing-masing hanya menyumbangkan RM140 setiap orang bagi menjayakan misi candat sotong.
“Setiap kali keluar mencandat, kami mampu mendaratkan hampir 100 kilogram sotong terutama ketika bulan purnama. Ia cukup memberi kepuasan selain hasilnya boleh dijadikan juadah di rumah manakala selebihnya boleh dijual,” katanya.














