Ramai orang sangka sekalipun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu solat dulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Benarkah begitu?
Jawapan:
Sebenarnya, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi SAW kita akan dapati itu amalan yang tidak tepat. Fahami perkara-perkara berikut:
Antaranya hadis daripada Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda SAW bersabda: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam.
Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan sekalipun beliau mendengar bacaan imam. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hikmah daripada arahan Nabi SAW agar mendahulukan makan ialah agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat tadi. Ini boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Dengan itu, para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata.
Ini merangkumi semua solat, bukan pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.
Ini bukan bererti kita mengutamakan makan daripada solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekhusyukan solat.
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan.
Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
Dengan itu, makan dulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi SAW.














