Apa hukum mengucapkan selamat kepada bukan Islam meraikan perayaan mereka?
JAWAPAN:
Islam mengharamkan penganutnya membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran.
Termasuk dalam hal ini, membesarkan agama lain dengan memberi ucapan mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah mempunyai makna menyembah selain Allah.
Apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud itu haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan.
Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah al-Nahl, ayat 106).
Pada masa sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan Muslim dan menyuruh melakukan kebaikan kepada mereka yang tidak memusuhi agama kita.
Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: (maksudnya): “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa, 86).
Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain, secara langsung atau tidak, pada masa sama, ada juga nilai berbuat baik kepada bukan
Muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini.
Bagi yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain.
Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.
Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran baharu dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat tertentu.
Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h. (meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H) dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini.
Mereka mengemukakan hujah dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka, perbuatan itu membawa erti menyerupai orang kafir dan meredai agama mereka.
Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana Muslim membolehkan orang Islam memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka.
Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam.
Saya berpendapat, boleh ucap selamat kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan syirik atau kufur. Maka, memadai sekadar ‘selamat hari raya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya.
Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni.














