fbpx
Kandang ternakan lembu diusahakan Muhammad Musthaqim yang dinaiki air setiap kali hujan lebat melanda. – RASUL AZLI SAMAD

Duit simpanan habis sebab banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – “Sudah empat kali banjir kilat musnahkan tanaman kami, saya terfikir nak berhenti bertani tetapi mengenangkan enam anak masih kecil saya angkat semula cangkul,” kata Mohd. Razali Zakaria, 41.

Itu kekecewaan salah seorang daripada 275 petani dan penternak yang terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu setiap kali banjir kilat melanda Melaka.

Menurutnya, apabila hujan lebat kawasan pertaniannya di Taman Paya Rumput Jaya akan ditenggelami air limpahan Sungai Batu berhampiran, dan bencana itu melarat sejauh empat kilometer ke Bukit Rambai.

“Kawasan ini mempunyai kira-kira 350 buah rumah dan setiap kali banjir, lebih 15 buah rumah dan semua tanaman serta ternakan berhampiran Sungai Batu ini akan tenggelam.

“Kebanyakan penduduk di sini sumber pendapatannya daripada hasil tanaman tetapi dalam setahun empat kali kami ‘terduduk’ kerana segala hasil titik peluh musnah ditenggelami banjir,” katanya yang mempu­nyai enam anak berusia antara tiga hingga 14 tahun.

Mohd. Razali yang menanam sayur kacang panjang, bendi, kangkung dan jagung di kebun seluas 1.2 hektar itu terpaksa mengeluarkan duit simpanan keluarga sebanyak RM12,000 sepanjang empat kali bencana itu berlaku pada tahun ini.

“Saya dan penduduk lain sudah puas ‘panjat’ sana sini minta bantuan, memang tidak dilayan atas alasan ia adalah bencana alam dan kerajaan negeri tidak ada peruntukan bagi isu ini.

“Masalah banjir ini bukan perkara baru di Melaka, jadi saya minta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri untuk sentiasa membersihkan sungai ini atau mendalamkannya, berapa lama lagi kami perlu mengikat perut setiap kali banjir?” katanya.

Selain kawasan itu, pesawah di Kampung Paya Luboh dan Seberang Gajah, Tanjung Kling turut dilaporkan kerugian kira-kira RM150,000 apabila tanaman seluas kira-kira 60 hektar musnah akibat banjir kilat bulan lalu.

Antara bencana terburuk dilaporkan media sebelum ini adalah pada Mei tahun lalu de­ngan lebih 24 kawasan di Melaka ditenggelami bah, selain seramai 2,500 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada Januari lalu.

Turut menanggung kerugian dalam bencana itu adalah golo­ngan penternak.

PENDUDUK turut terkena tempias kerugian harta benda apabila kawasan rumah di Jalan Kampung Sungai Air Hitam, Tanjung Minyak dinaiki air.

Salah seorang penternak lembu di Sungai Udang, Muhammad Musthaqim Mohammad, 30, berkata, dia kerugian RM8,000 setiap kali kandang lembunya ditenggelami banjir kilat.

“Enjin pam air untuk bersihkan kandang lembu ini bukannya murah, terendam sikit sudah rosak.

“Kalau boleh baiki, memang saya akan hantar ke kedai tetapi kalau dah rosak, mahu tidak mahu terpaksa beli baru, terma­suklah mesin pemotong rumput, selain makanan lembu,” katanya.

Isu banjir kilat yang didakwa telah berlaku lebih enam tahun itu turut menenggelamkan sebuah bengkel di Tangga Batu.

Pemilik bengkel, Mohd. Fadhlan Jaafar, 36, berkata, dia terkedu apabila 20 buah motosikal pelanggan tenggelam dalam banjir kilat Jun lalu.

“Bila jadi macam ini, sayalah yang menanggung kerugian dan setiap kali banjir tak kurang daripada RM5,000 duit saya ‘mela­yang’ dan tahun ini sudah empat kali saya kena,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut melaporkan petani dan penternak di negeri ini menanggung kerugian sebanyak RM2.8 juta akibat banjir kilat yang berlaku secara berturut-turut dalam tempoh kurang dua bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN