fbpx
Seorang wanita Kyrgyzstan menadah susu yang diperah pada seekor kuda.

Susu kuda peram jadi tarikan pelancong di Kyrgyzstan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI tangan Michael Turtle terdapat sebuah gelas bersaiz sederhana yang dipenuhi cecair putih iaitu susu daripada seekor kuda.

Riak wajahnya tampak bimbang memandangkan ini merupakan kali pertama jejaka berasal dari Sydney, Australia itu mahu mencuba susu kuda.

“Saya bersedia untuk mengambil hirupan pertama, namun akui sedikit gementar kerana tidak tahu bagaimana rasanya.

“Susu putih dalam gelas saya itu nampak sama seperti susu biasa, namun apa yang sedikit berbeza adalah terdapat lebih banyak buih pada permukaannya berbanding susu lain,” kongsi lelaki itu menerusi portal timetravelturtle.com baru-baru ini.

Selepas menghirupnya, Turtle sedikit terperanjat kerana susu suam tersebut mempunyai rasa yang lebih ringan berbanding susu lembu.

TURTLE menikmati susu kuda di sebuah lembah di Bishkek, Kyrgyzstan.

Ia juga lebih manis dan Turtle menyifatkan rasanya seperti segelas susu skim yang telah dicampurkan dengan sedikit gula di dalamnya.

“Biarpun saya agak sukakannya, saya memilih untuk menghirupnya dengan perlahan dan bukan menghabiskannya secara gelojoh,” ujar Turtle.

Tambah Turtle, ketika diperkenalkan dengan minuman itu yang dicubanya di Baytur Resort, lembah Sauusamyr, Bishkek, Kyrgyzstan, dia turut menerima risalah tentang kebaikan meminum susu kuda dari sudut kesihatan.

Ia didakwa dapat menyembuhkan penyakit pernafasan seperti bronkitis dan pneumonia, merendahkan tahap kolesterol serta membantu menyembuhkan penyakit berkaitan darah seperti anemia dan menguatkan usus bagi membantu menambah baik penghadaman.

“Sejujurnya, saya bukanlah seorang doktor dan selalunya saya kurang mempercayai perkataan ‘menyembuhkan’ atau ‘menghalang’.

“Namun, apabila bercakap tentang susu kuda, saya tahu ia sudah diamalkan sejak beratus tahun lalu oleh sesetengah masyarakat dan kajian moden turut menyokong dakwaan ini,” katanya.

Baru-baru ini, CNN melaporkan, Kyrgyzstan sedang giat mempopularkan susu kuda sebagai elemen tarikan pelancong ke negara di Asia Tengah itu.

Meminum susu kuda mungkin kedengaran asing, namun ia sebenarnya sudah menjadi kebiasaan dan budaya penduduk Kyrgyzstan sejak sekian lama.

Malah, meminum susu kuda yang diperam atau dikenali sebagai kumis sudah menjadi satu tradisi penting, sehinggakan penduduk tempatan mewujudkan banyak ladang yang mana pelancong boleh datang untuk mencuba sendiri minuman tersebut.

Susu kuda yang diperah akan melalui proses penapaian.

Proses memerah susu kuda sebenarnya jauh lebih rumit berbanding memerah susu lembu. Hal ini kerana, tukang perah perlu memeluk bahagian paha seekor kuda betina untuk mencapai kantung susunya bagi diperah. Ia lazimnya dilakukan antara pertengahan Mei sehingga pertengahan Julai setiap tahun.

Hubungan tukang perah susu dengan kuda peliharaannya juga adalah cukup penting dalam proses mendapatkan susu haiwan itu.

Menurut kepercayaan warga Kyrgyzstan, seekor kuda betina hanya membenarkan seorang individu sahaja untuk memerah susunya.

Sekiranya seorang individu lain mahu memerah susu pada kuda yang sama, dia perlu memakai baju yang dipakai oleh pemerah susu asal bagi memastikan haiwan itu mengecamnya melalui bau.

Menurut seorang wartawan kelahiran Bishkek, Nargiz Koshoibekova, secara asasnya, susu kuda diperah lima kali sehari, manakala proses memeramnya pula hanya mengambil masa sehari.

Susu tersebut dicampur bersama yis sebelum dikocak dan disebatikan menggunakan dayung atau pengaduk dibuat daripada kayu dalam sebuah bekas khas.

“Selepas campuran tersebut menjadi sebati, ia akan dibotolkan bagi proses peraman atau penapaian.

“Produk akhir adalah susu kuda yang sedikit bergas berserta aroma yang sedikit beralkohol, diikuti rasa yang agak tajam,” ujarnya.

Tambah Koshoibekova, masyarakat Kyrgyzstan percaya, amalan meminum susu kuda segar sebanyak lima kali sehari mampu menyembuhkan beberapa penyakit kronik dan membantu menguatkan sistem imun badan, umpama seorang bayi yang dilahirkan yang meminum susu ibu.

Maka, tidak hairanlah kerajaan Kyrgyzstan ketika ini sedang giat berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong dengan mempromosikan kumis tradisionalnya, yang mana langkah tersebut dibuat ketika banyak negara sedang menunjukkan minat terhadap minuman yang ditapai dan probiotik.

Kepentingan kumis kepada budaya penduduk Kyrgyzstan juga terbukti menerusi fakta bahawa ibu kota negara bekas republik Soviet itu iaitu Bishkek dinamakan sempena dayung yang digunakan untuk mengaduk susu kuda yang ditapai itu.

Selain meminum susu kuda, Kyrgyzstan turut menggalakkan pelancong untuk mencuba sendiri gaya hidup masyarakat nomad di negara itu.

Mereka boleh tidur di dalam yurt sambil dikelilingi padang rumput di kawasan gunung yang subur untuk berada lebih dekat dengan kawanan kuda yang menghasilkan susu tersebut.

Pelancong juga ditawarkan susu segar kuda yang dinamakan saamal di yurt.

SUSU kuda diaduk menggunakan pendayung kayu sebelum diperam.

Bagi wanita kelahiran Korea Selatan yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Juno pula, sebelum ini, dia kerap mendengar tentang susu kuda, namun tidak pernah sesekali terfikir mahu mencubanya.

Begitupun, wanita itu akhirnya berubah fikiran selepas mencuba sendiri minuman itu ketika berkunjung ke Kyrgyzstan.

“Ketika hari pertama di Kyrgyzstan, pemandu pelancong kami banyak bercerita tentang susu kuda peram yang juga dikenali sebagai kumis serta khasiatnya dalam mengubati penyakit tertentu.

“Malah, kami turut melalui beberapa kawasan yang dipenuhi yurt iaitu sebuah khemah putih berbentuk bulat, sebelum kami akhirnya memutuskan untuk singgah di salah sebuah khemah itu.

“Di situlah saya pertama kali mencuba susu kuda,” ujarnya.

Seorang pengunjung dari Mekah, Arab Saudi yang mengunjungi sebuah yurt bagi mencuba kumis menyifatkan, ia sebagai satu minuman yang unik dan dia tidak pernah merasai sesuatu seperti itu di negaranya.

“Saya memutuskan untuk mencuba saamal dan kumis daripada kawan-kawan yang pernah mengunjungi Krygyzstan.

“Saya bahkan tidak mampu mengungkapkan bagai mana rasanya.

“Tidak ada seperti ini di Arab Saudi untuk saya bandingkan,” kata pelancong dari Mekah, Ibrahim Al-Sharif kepada Reuters.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN