PETALING JAYA – Tiada apa yang diinginkan seorang isteri melainkan mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab dan mampu menyara keluarga dengan rezeki yang diperoleh.
Bagaimanapun, tidak semua isteri bernasib baik untuk menikmati kehidupan indah itu apabila ada antara mereka yang terpaksa bergolok-gadai untuk menanggung suami yang diibaratkan sebagai ‘biawak hidup’ apabila malas bekerja.
Tidak cukup dengan itu, si suami turut berhutang keliling pinggang sehingga memaksa si isteri berkerja keras untuk mencari rezeki termasuk menggadaikan kesemua barang kemas semata-mata mengelak diganggu pengutip hutang.
Berkongsi kisah sedih itu, seorang peguam syarie, Nurul Atikah Abd. Rashid berkata, ada isteri yang terpaksa menanggung penderitaan seumur hidup hanya kerana perbuatan suami.
“Isteri gadai barang kemas sebab hendak tolong suami. Suami pula tidak bekerja, tapi hutang keliling pinggang.
“Bila orang tuntut hutang, datang rumah kacau isteri dan anak. Terpaksa isteri gadai barang kemas semua,” katanya pada hantaran di Twitter.
Beliau berkata, sewaktu suami dalam kesusahan, isteri juga yang akan dicari bagi mendapatkan pertolongan.
“Bagaimanapun jika isteri susah, hendak cari siapa agaknya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang wanita dikenali Habibah, 50, berkata, dia pasrah apabila suaminya yang kini berusia 55 tahun sudah tidak bekerja sejak 10 tahun lalu dengan alasan penat memandangkan anak sulung mereka ketika itu sudah bekerja.
Ibu kepada lima anak itu berkata, sebelum ini suaminya bekerja sebagai pemandu teksi dan apabila berlaku persaingan dengan industri e-hailing, lelaki itu terus berhenti kerja.
“Anak sulung ketika itu berusia 21 tahun dan bekerja di restoran makanan segera. Suami pula tidak mahu bekerja kerana baginya, ini adalah masa untuk anak membalas jasa.
“Bagaimanapun, kami masih mempunyai anak bongsu yang bersekolah. Itu adalah tanggungjawab suami untuk mencari nafkah anak dan bukannya tanggungjawab anak sulung,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Wanita itu berkata, segala perbelanjaan di rumah termasuk sekolah anak di bawah tanggungannya yang bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai kerani.
“Pendapatan anak juga tidak seberapa kerana dia baru hendak memulakan kehidupan dan dia telah beberapa kali bertukar pekerjaan.
“Disebabkan sikap suami, sudah banyak kali kami bergaduh dan bertekak kerana masalah kewangan. Anak-anak pun sedih kerana bapa mereka tidak bekerja bahkan, kakak saya sendiri pernah menasihatinya.
“Bagaimanapun, suami memarahi kakak supaya tidak campur tangan. Saya sebenarnya penat bergaduh dan pasrah, malah pernah berdepan kesihatan mental kerana terlalu tertekan dengan sikapnya,” katanya.
Habibah berkata, dia terpaksa menebalkan muka dengan meminjam wang daripada adik-beradik hanya semata-mata mahu membeli barangan basah dan makanan keperluan di rumah.
“Sudah banyak kali saya menegur suami tentang tanggungjawabnya sebagai bapa adalah mencari nafkah untuk anak. Saya turut mengingatkannya bahawa Allah akan mempersoalkan berkenaan nafkah tersebut kelak.
“Namun nasihat dan teguran saya ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Dia langsung tidak mengendahkannya menyebabkan saya sudah penat untuk menegurnya. Saya pun semakin berusia dan tidak mahu bergaduh,” katanya.
Seorang lagi wanita yang hanya mahu dikenali Ain berusia 40-an berkata, dia sudah beberapa kali mengambil keputusan untuk berpisah memandangkan suaminya tidak mahu bekerja, namun diugut dengan pelbagai ugutan menyebabkannya berasa takut.
“Suami berhenti kerja selepas terlibat kemalangan motosikal pada 2014 mengakibatkan kakinya patah. Selepas lima bulan, dia kembali sihat serta cuba mencari kerja, tetapi tidak bertahan.
“Suami kata dia bosan dengan pekerjaan itu dan kurang berminat. Lebih 10 kali dia tukar kerja sejak 2016. Selepas itu, dia masih enggan mencari pekerjaan atas alasan saya bekerja dan gaji mencukupi untuk tampung kami sekeluarga,” katanya.
Ain yang juga ibu kepada tiga anak berkata, disebabkan tertekan, dia pernah menyatakan hasrat kepada suami untuk bercerai.
“Suami merayu dan berjanji untuk berubah selain cuba bekerja sebagai pengawal keselamatan kilang,” luahnya.
















