fbpx
Anggota polis perlu melakukan sekatan jalan raya selama 24 jam ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. – Gambar hiasan

‘Pandai jaga hati orang atasan boleh cepat naik pangkat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Segelintir anggota polis berpangkat rendah mengaku mereka memilih untuk pencen awal kerana tidak tahan lagi menanggung pelbagai beban kerja hingga menjejaskan kehidupan bersama keluarga.

Anggota yang dikenali sebagai Lanai, 55, berkata, dia bersara dengan pangkat sarjan pada usia 50 tahun kerana tidak tahan de­ngan beban kerja melampau.

“Saya perlu mencari maklumat dengan cepat dan tepat ketika ditempatkan di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

“Saya sentiasa fikirkan kerja walaupun sedang bercuti. Itulah dugaan yang dihadapi sehinggakan kadang-kadang waktu bercuti pun rasa tak tenang,” katanya.

Menurut Lanai, sikap masyarakat yang suka menyalahkan polis termasuk menularkan di media sosial juga turut menjadi punca.

“Tindakan itu akan mengganggu emosi polis. Kebanyakan pihak atasan lebih mengutamakan masyarakat berbanding kepen­tingan anggota hingga mengakibatkan mereka berdepan dengan tindakan tatatertib dan rasa tak dihargai,” dakwanya.

Bagi Zaki, 55, dia memilih untuk bersara dengan pangkat sarjan kerana sudah tidak tahan dengan sikap pilih kasih dan mengutamakan kroni.

“Siapa pandai jaga hati bos, cerah masa depan naik pangkat. Ada yang sudah 40 tahun ber­khidmat masih lagi koperal sedangkan dia boleh jadi sarjan mejar atau sub inspektor,” katanya.

Seorang lagi bekas anggota dikenali sebagai Joe memberitahu, dia pencen dengan pangkat koperal pada usia 58 tahun.

“Ketika bertugas, banyak birokrasi dan wujud sikap pilih bulu oleh ketua atau penyelaras.

“Anggota yang bukan kesaya­ngan akan dipinggirkan daripada semua aspek termasuk pertukaran, kenaikan pangkat dan juga anugerah kecemerlangan,” dakwanya.

Ujar Joe, dia bukan hendak memburukkan pasukan tetapi perkara itu sudah lama berlaku yang hanya diketahui dalam kalangan anggota sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN