fbpx
PENGGUNA mempunyai lebih banyak pilihan untuk membeli barangan termasuk menggunakan perkhidmatan BNPL.

Beli dulu, bayar kemudian cara paling mudah berbelanja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keghairahan orang ramai untuk membeli barangan dengan cara mudah dan segera menyaksikan syarikat-syarikat e-dagang kini berlumba-lumba menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pengguna.

Bagaimanapun, kaedah Beli Dahulu Bayar Kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL) dilihat berjaya mendominasi pasaran maya selepas tampil dengan idea yang memberi ba­nyak kelebihan kepada pengguna, terutama yang bermasalah dari segi pemilikan wang tunai.

Perkhidmatan BNPL turut menjadi pilihan orang ramai, le­bih-lebih lagi ketika ekonomi negara mula berkembang selepas terjejas teruk akibat pandemik.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, walaupun BNPL dilihat menambahkan beban hutang pengguna, namun dari sudut positifnya, perkhidmatan ini mampu membawa ‘cetusan’ baharu kepada pertumbuhan ekonomi.

“Dari satu sudut, ramai yang lihat BNPL ini sebagai beban hutang, namun perlu diingat bahawa tidak semua orang mampu membeli menggunakan tunai.

“Oleh itu, pada pandangan saya, BNPL inilah menjadi ‘penyelamat’ kepada mereka yang tidak mampu membeli sesuatu barangan keperluan secara tunai,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pembelian menerusi kaedah BNPL menjadi popular sejak kebelakangan ini. – Gambar Hiasan

Bagaimanapun Abdul Rais berkata, pengguna yang ingin membuat pembelian menerusi BNPL perlu mengetahui kemampuan mereka untuk membayar balik supaya tidak terjebak de­ngan krisis hutang selepas ini.

“Jika mahu membeli sesuatu barangan menerusi BNPL dan mampu membayar balik dalam tempoh yang ditetapkan, ia tidak menjadi masalah,” ujarnya.

Kata beliau lagi, BNPL tidak boleh dinilai dari sudut negatif sahaja kerana matlamat sebenar pelaksanaannya meluas.

“Kita tidak boleh lihat ia sebagai beban hutang semata-mata kerana BNPL sebenarnya mampu membuka semula ruang ekonomi bukan sahaja kepada pengguna, malah kepada penjual.

“Pengguna mempunyai ba­nyak pilihan untuk memiliki sesuatu barangan yang lebih berkualiti, manakala penjual pula mampu mengembangkan perniagaan mereka apabila permintaan semakin

tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi bebas, Dr. Baayah Baba turut bersetuju bahawa BNPL boleh merancakkan semula sektor ekonomi ketika ini.

Menurutnya, menerusi BNPL, ramai pengguna akan berbelanja dan peniaga pula dapat menjual barangan mereka.

“Perlu diingat, BNPL ini konsepnya berhutang, jika tidak pandai mengawal perbelanjaan, pengguna boleh terjerumus de­ngan krisis pada masa hadapan.

“Bagi jangka masa pendek, BNPL ini bagus kerana ia membantu pengguna memiliki sesuatu barangan tanpa pembayaran tunai. Tetapi untuk jangka masa panjang, BNPL ini dilihat akan menjadi bebanan hutang berte­rusan kepada pengguna,” ujarnya.

Tambah Baayah, BNPL juga akan memberi masalah ter­utamanya kepada pembeli yang berusia kerana kemampuan mereka untuk membayar balik.

“Kalau peminjam daripada golongan muda tiada masalah untuk menggunakan BNPL ke­rana kemampuan untuk mereka membayar balik itu tinggi.

“Bagi yang berusia, kemam­puan membayar semula agak terbatas,” katanya.

Berdasarkan laporan oleh ResearchAndMarkets.com, nilai urus niaga kemudahan BNPL dijangka melonjak sebanyak 109.5 peratus pada tahun ini berban­ding tahun 2021 yang mencecah AS$601.2 juta (RM2.7 bilion).

Menurut laporan itu lagi, pasaran BNPL akan terus me­lonjak dalam tempoh empat hingga lapan sukuan akan datang, memandangkan permintaan perkhid­matan pembayaran tertunda dijangka meningkat dalam kalangan peniaga serta pengguna.

Terdahulu, Akta Kredit Pengguna (CCA) dijangka dibentangkan kepada Parlimen pada suku kedua 2023 adalah tepat pada masanya untuk memastikan ke­stabilan dan pertumbuhan sistem kewangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN