Bekerja sebagai pengawal keselamatan sememangnya tugas mencabar kerana ia bukan sahaja memerlukan disiplin tinggi, tetapi juga perlu berani.
Bagi Manan (bukan nama sebenar) yang sudah bertugas selama lebih 20 tahun sebagai pengawal keselamatan, kerjaya itu memberikannya 1,001 pengalaman yang tidak dapat dilupakan, terutama apabila menyentuh kisah mistik.
Menceritakan pengalamannya, Manan memberitahu, antara kejadian tidak dapat dilupakan adalah ketika bertugas di sebuah sekolah menengah di sebuah daerah di Selangor.
Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira 18 tahun lalu selepas dia baru memulakan kerjaya selama dua tahun dengan sebuah syarikat kawalan keselamatan.
“Selepas dua tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah harian, saya dipindahkan ke sekolah lain di daerah sama selepas salah seorang pengawal di situ berhenti kerja.
“Di sekolah berkenaan, terdapat dua pengawal keselamatan yang bertugas dan pada minggu pertama, saya diberikan tugas pada waktu siang,” katanya.
Ceritanya, pada hari pertama dia bertugas syif malam, dia diberitahu rakan setugasnya, Razak agar tidak menghampiri bangunan stor yang terletak di hujung penjuru sekolah pada waktu malam.
Katanya, Razak menjelaskan, stor tersebut sudah lebih 20 tahun tidak digunakan, malah langsung tidak pernah dibuka dalam tempoh tersebut oleh sesiapa termasuk guru dan kakitangan sekolah.
“Menurut Razak, kira-kira 20 tahun lalu, tukang kebun sekolah menjumpai mayat seorang wanita dipercayai dirogol dan dibunuh di situ.
“Bermula daripada kejadian itu, pihak polis mengarahkan agar bangunan kecil itu ditutup bagi tujuan siasatan dan selepas itu, ia tidak digunakan lagi,” katanya.
Kata Manan, pada malam kejadian, dia yang bertugas berseorangan memulakan rutin memeriksa seluruh bangunan sekolah termasuk kelas, kantin dan bengkel kemahiran.
Pada rondaan kali pertama, dia mula teringat cerita Razak mengenai stor yang terletak di penjuru sekolah yang dapat dilihat ketika dia berada di tingkat tiga bangunan sekolah itu.
“Apa yang menghairankan, saya nampak lampu stor tersebut seakan-akan menyala dan sesekali terpadam, sedangkan menurut Razak, bangunan itu sudah 20 tahun tidak digunakan.
“Ketika itu, saya cuba menghubungi Razak bagi bertanyakan adakah memang lampu stor tersebut terpasang pada waktu malam, tetapi tidak dijawab.

“Disebabkan curiga, saya memberanikan diri menghampiri stor tersebut yang terletak kira-kira 200 meter dari bengkel kemahiran yang terletak di belakang deretan bangunan sekolah,” katanya.
Ujarnya lagi, dalam penuh debaran dan rasa takut selepas memikirkan kejadian yang diceritakan Razak, dia memberanikan diri menghampiri stor tersebut untuk melihat adakah benar ada lampu yang terpasang dari dalam.
Selepas berada pada jarak kira-kira 20 meter dari stor itu, dia terdengar suara wanita menangis.
“Ketika itu, perasaan saya sudah mula takut dan bulu roma meremang apabila cuba memikirkan suara apakah yang saya dengar itu.
“Sebaik menjengah arah pintu stor, saya dapat melihat dengan jelas seorang wanita yang memakai baju merah sedang mencangkung dengan mukanya memandang ke lantai.
“Dalam ketakutan, saya cuba menegur wanita tersebut, tetapi teguran tersebut tidak diendahkan membuatkan saya semakin curiga dengan apa yang dilihat.
“Tidak lama kemudian, wanita itu berhenti menangis dan mula berdiri, sambil kepalanya dipusingkan dan memandang ke arah saya,” katanya.
Kata Manan lagi, ketika itu dia dapat melihat dengan jelas wajah wanita itu berambut panjang hingga ke pinggang, berlumuran darah.
Apa yang lebih menghairankan, hanya kepalanya sahaja yang berpusing ke belakang sedangkan badannya tidak bergerak sama sekali.
Melihat keadaan itu, tanpa berfikir panjang dia terus beristighfar sambil berlari dan membaca beberapa potong ayat al-Quran sebagai pendinding diri daripada gangguan syaitan.
Sebaik tiba di pondok pengawal, dia terus memasang bacaan surah dari al-Quran menerusi telefon bimbitnya bagi menenangkan perasaan takutnya sehingga tamat waktu bertugas pada pukul 7 pagi.
Menurut Manan, dia menceritakan kejadian menakutkan yang menimpanya kepada Razak selepas itu.
Rakannya itu hanya mentertawakannya sambil memberitahu, dia juga pernah mengalami kejadian sama sewatu mula bertugas di sekolah itu sebelum ini.
















