fbpx
HAZAMA (tengah) bersama Kmy Kmo dan dan Luca Sickta (kanan).

Hazama terima sebab Makuta bukan sindiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTAMA kali menjalin kolaborasi dengan penyanyi berbakat besar, Hazama menerusi single baharu berjudul Makuta, duo hip-hop popular, Kmy Kmo dan Luca Sickta sungguh berbesar hati dek impian lama yang terlaksana akhirnya.

Selepas tiga karya dengan penyanyi ternama tanah air, termasuk Datuk M. Nasir menerusi lagu Zuhud, Datuk Seri Siti Nurhaliza (7 Nasihat) dan Datuk Jamal Abdillah (Neraca), Kmy memaklumkan, kerjasama dengan Hazama merupakan penghormatan terbesar buatnya dan Luca.

HAZAMA bersetuju menyanyikan lagu Makuta kerana liriknya tidak menyindir pihak lain.

Hasrat ‘lama’

“Sebenarnya, memang sudah lama kami memasang hasrat nak berkolaborasi dengan Hazama. Sejujurnya, sejak lagu Neraca lagi, namun disebabkan komitmen dan kesibukan jadual kariernya, impian itu tertangguh.

“Apa yang kami sasarkan dalam lagu Makuta ini sangat tepat apabila Hazama menepati setiap karakter yang kami inginkan. Lagu ini sebenarnya bergenre rock ‘kapak’ dan Hazama adalah figura yang paling tepat menyanyikan lagu ini.

“Lagu ini memang kami cipta khas untuk Hazama. Walaupun kami sedar mungkin ramai yang akan tertanya-tanya mengapa kali ini tidak menggunakan penyanyi yang mempunyai gelaran Datuk dalam single terbaharu, namun selepas dikaji dalam media sosial kami tidak jumpa penyanyi lain, selain dia.

“Lagi pun kalau nak jalin kolaborasi bersama Search atau Wings, masing-masing begitu sibuk dengan jadual mereka. Apabila Hazama terima lamaran kali ini, kami sangat yakin dengan energi dan aura dimilikinya,” katanya.

Kmy atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim memberitahu, penghasilan Makuta menitikberatkan gambaran dan amaran yang sudah mahupun bakal berlaku dalam memberi kesedaran kepada pendengar.

“Makuta mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian kita.

“Makuta juga menjurus kepada ketua, pengurus dan wanita kerana golongan ini mempunyai mahkota dan kuasa tersendiri. Mereka mampu membawa setiap agenda atau tanggungjawab itu ke arah kebaikan atau sebaliknya dengan mempergunakan ‘makuta’ (mahkota) sebagai senjata kuasa veto,” ujarnya.

Katanya, Makuta memberi definisi meluas dan universal yang boleh dihubungi kaitkan dengan perihal lain juga.

SELEPAS Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah dan M. Nasir, kini Hazama menjadi taruhan duo rapper popular, Kmy Kimo dan Luca Sickta menerusi lagu Makuta

Didik pendengar

“Tidak dinafikan pengurus atau ketua yang diberikan ‘mahkota’ dalam satu perbadanan mampu mengubah pengikut menjadi lebih baik dengan penuh rasa tanggungjawab, malah golongan ini juga mampu mempergunakan pengikutnya dengan kuasa ‘mahkota’ yang diamanahkan demi kepentingan sendiri.

“Jika dilihat dari sudut wanita, ‘mahkota’ boleh disifatkan sebagai sesuatu yang berharga, mampu menjadi senjata berbahaya atau membunuh jika digunakan dengan niat jahat,” katanya.

Ditebak tentang pemilihan judul Makuta berbanding ‘mahkota’ yang barangkali membawa maksud lebih ‘tersurat’, Kmy dan Luca ingin mendidik para pendengar dan khalayak memahami serta mengkaji apa yang tersirat dalam lagu.

“Kalau diikutkan, kami boleh saja menggunakan perkataan ‘mahkota’ sebagai judul lagu, tapi mungkin perkataan itu tidak dapat menarik perhatian pendengar.

“Lagi pun setiap lagu yang kami bawakan pasti peminat atau pendengar akan bertanya mengenai maksud dalam lirik lagu kami, terutama generasi muda.

“Jadi, untuk single terbaharu ini kami memilih tajuk lagu sebagai permulaan pertama untuk mereka mengkaji maksud lagu ini.

“Bolehlah generasi muda hari ini belajar sesuatu. Itu tujuan kami buat muzik dengan maksud mendalam,” tuturnya.

KMY KMO dan Luca Sickta (kanan) menemukan sebuah genre yang serasi dengan Hazama untuk lagu Makuta.

Kerjasama tak menjadi

Mengulas tentang kolaborasi dengan Hazama yang disifatkan sebagai penyanyi berkaliber, Luca berkata, penyanyi itu juga seorang yang serius, namun pada masa sama, sangat kelakar.

“Kerjasama kali ini boleh dikatakan agak berbeza sebab Hazama seorang yang sangat teliti. Contohnya, ketika hari pertama rakaman dia sudah tanya saya mengenai hala tuju lagu ini serta meminta keizinan untuk mengubah lagu itu mengikut caranya.

“Sebagai komposer dan penulis lirik saya sentiasa terbuka dalam menerima pandangan.

“Saya juga mahu setiap penyanyi selesa dengan apa yang mereka buat, kemudian baru kita perbaiki dan cantikkan lagu itu.

“Malah karakter dia di dalam studio juga sangat berbeza. Kalau di luar, dia sangat kelakar tapi ketika proses rakaman dia begitu menghayati setiap lagu yang dibawakan,” katanya.

Hazama juga turut berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kmy dan Luca yang diyakini sebagai rapper alaf baharu mempunyai identiti tersendiri.

BERENTAK rock, judul Makuta membawa maksud mahkota dalam bahasa Sunda. Antara mesej yang diselitkan dalam lagu tersebut termasuklah propaganda, ketidakadilan dan korupsi.

Sekadar teguran

Kata Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 38, pelawaan Kmy dan Luca sebenarnya sudah bermula sejak lagu Neraca tetapi ditolak secara baik.

“Jika diikutkan, lagu Neraca yang dinyanyikan Luca dan Kmy bersama Datuk Jamal Abdillah menjadi kerjasama sulung kami. Namun, selepas dipertimbangkan, konsep dan elemen lagu itu bersifat nusantara dan seakan tidak kena dengan gaya nyanyian saya.

“Saya anggap rezeki lagu itu pergi kepada Jamal. Namun, akhirnya, ‘jodoh’ kami dapat disatukan dalam lagu Makuta,” katanya.

Menurut Hazama, dia bersetuju bekerjasama dalam dengan Kmy dan Luca kerana mesej positif yang terkandung dalam liriknya.

“Lagu ini tidak menyindir mana-mana pihak. Hanya sekadar teguran buat kita semua. Sebagai penyanyi saya sangat menitikberatkan lirik lagu kerana saya tidak mahu menyindir mana-mana pihak.

“Kalau lirik itu ada menghukum orang, saya akan tolak sebab kalau nak menegur ada cara lain.

“Jadi menerusi lagu ini sangat menarik untuk dibawakan kerana berunsur nasihat dan penuh berkias. Malah sebelum menjalani proses rakaman pun saya banyak berbual dengan Kmy dan Luca mengenai lagu ini.

“Awalnya agak sukar untuk memahami apa yang mereka mahu, tapi selepas berbincang dan berbual, saya akhirnya dapat ‘mood’ yang diinginkan,” tutup Hazama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN