fbpx
Lebih 90 peratus nelayan Pantai Remis didakwa menggunakan bubu naga.

Raih RM30,000 sebulan guna bubu naga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LUMUT – Mampu memperoleh pendapatan antara RM15,000 hingga RM30,000 sebulan menjadi punca segelintir nelayan di sekitar perairan Pantai Remis dekat sini terus menggunakan bubu naga.

Biarpun menyedari penggunaan bubu naga satu kesalahan dan boleh dikenakan hukuman, namun pendapatan lumayan yang diraih berbanding RM3,000 sebulan menggunakan pukat bia­sa menyebabkan mereka tidak serik.

Malah, dakwa sumber, lebih 90 peratus daripada kira-kira 200 nelayan di perairan Pantai Remis menggunakan bubu naga untuk menangkap hasil laut.

“Perbezaan pendapatan sehingga berbelas ribu ringgit yang diterima sebulan dengan bubu naga berbanding RM2,000 hingga RM3,000 diperoleh nelayan kecil menyebabkan golongan tidak bertanggungjawab itu terus menggunakan bubu naga.

“Di kawasan ini, daripada 200 nelayan, hanya berbelas orang sahaja yang bekerja secara jujur,” katanya kepada ­Kosmo! baru-baru ini.

Dakwanya lagi, nelayan yang menangkap hasil laut bubu naga biasa­nya menggunakan bot berkuasa tinggi seperti 115cc, 150cc atau 250cc.

Jelasnya, dengan menggunakan bot tersebut, golongan itu turun ke laut bagi mengutip hasil setiap hari berbanding nelayan yang hanya menjalankan kerja mereka kira-kira 15 kali sebulan.

NELAYAN kecil tidak akan menghampiri kawasan yang mempunyai penanda bagi mengelakkan enjin bot tersangkut bubu naga. FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

“Biasanya mereka ini ke laut bermula pukul 3 atau 4 pagi dan adakala sehingga pukul 7 atau 8 pagi pun masih lagi mengutip hasil tangkapan sebelum pulang ke pelantar, seterusnya menjual kepada pembeli yang telah me­nunggu.

Berita berkaitan: Dulu raih RM3,000, kini RM400 angkara bubu naga

“Apabila mereka ke laut setiap hari, dengan semua jenis tangkapan dari ikan hingga ke sotong pun masuk ke dalam bubu naga, apa lagi yang tinggal untuk nelayan kecil? Kalau dapat tangkap ikan, ketam atau udang sekali pun, saiznya tidak berbaloi untuk dijual,” jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan Kos­mo! di sekitar perairan di Tanjung Batu, Pantai Remis turut mendapati kawasan berkenaan dipenuhi dengan pancang pe­nanda bubu naga yang digunakan segelintir nelayan di sana.

Sumber itu mendakwa, bubu naga digunakan oleh sebilangan nelayan di perairan sekitar Matang sehinggalah ke Teluk Se­nangin di sini.

Di pelantar nelayan berhampiran pula, bubu naga dapat dilihat dengan jelas di bot-bot nelayan serta di sekitar kawasan pelantar berkenaan seakan-akan penggunaannya adalah tidak salah di sisi undang-undang.

Kata sumber lagi, nelayan ke­cil yang menggunakan pukat tidak akan mendekati kawasan dipenuhi bubu naga tersebut bagi mengelakkan enjin bot ­tersangkut dengan peralatan berkenaan.

“Jadi masalah jika bot kami tersangkut bubu naga ­kerana kos baik pulihnya boleh mencecah antara RM300 hingga RM400.

“Satu lagi sikap tidak bertanggungjawab segelintir nelayan yang menggunakan bubu naga itu ialah mereka gemar membuang peralatan yang telah rosak ke dalam laut,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN