fbpx
Tangkap layar video ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (kanan) menyerbu sebuah premis disyaki menjalankan judi online di Kerian kelmarin.

ADUN serbu premis judi selepas aduan rakyat tak dipeduli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIT BUNTAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zakaria Zulkarnain Abdul Munaim mendedahkan tindakannya menyerbu dua premis judi di Parit Buntar, Perak Ahad lalu adalah disebabkan tiada sebarang penguatkuasaan diambil walaupun banyak aduan dibuat sebelum ini.

Beliau yang menerima tiga aduan daripada penduduk kampung di Bagan Tiang dan pekan Titi Serong memberitahu, serbuan itu tidak dirancang sebagaimana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya dilakukan secara spontan selepas penduduk meminta bantuannya untuk menyelesaikan isu tersebut.

Lebih mengecewakan, Hasnul Zakaria mendakwa, perkara itu telah dibangkitkan di dalam mesyuarat tindakan daerah de­ngan kehadiran polis, namun apa yang diharapkan tidak terjadi.

“Saya telah bangkitkan isu aktiviti ini dalam mesyuarat tindakan daerah yang mana pihak polis juga hadir tetapi tiada satu pun tindakan diambil.

“Saya tidak faham kenapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas premis-premis yang menjalankan aktiviti-aktiviti haram seperti itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Hasnul Zakaria

Hasnul Zakaria berkata, beliau tidak merancang sama sekali untuk membuat terjahan ke atas premis judi di Bagan Tiang dan Titi Serong.

“Tak ada rancangan pun untuk terjah sebegitu dan ia adalah tindakan secara spontan setelah penduduk kampung membuat aduan di pelbagai medium aplikasi media sosial.

“Saya turut menerima aduan ketika menghadiri tiga majlis kenduri hari ini (kelmarin). Penduduk kampung merayu supaya membantu mereka dan segera bertindak bagi menyelesaikan isu tersebut,” katanya.

Menurut Hasnul Zukarnain, penduduk kampung sudah lama menantikan agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas kegiatan itu.

“Rakyat di kawasan saya membuat aduan mengatakan ramai anak orang kampung habis duit membeli tambah nilai perjudian yang dijual di premis-premis itu.

“Bila saya tanya orang kampung di mana tempat tersebut, mereka menunjukkan kedudukan lokasinya dan secara spontan saya mengambil tindakan sendiri dengan membuat terjahan ke tempat itu,” katanya.

Tambahnya, aksi terjahannya itu telah dirakam dan video tersebut telah dimuat naik di Facebook sehingga tular.

“Ini satu cara untuk membuka mata pihak berkuasa bahawa perkara ini memang terlalu serius dan berlaku di mana-mana .

“Saya sangat mengambil berat tentang apa yang berlaku di sini dan berharap tindakan tegas dapat diambil untuk menangani isu ini,” katanya.

Susulan pendedahan itu, polis telah menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan kerana disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian di Tanjung Piandang di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, serbuan dilakukan ekoran tular satu klip video di laman sosial yang memaparkan terdapatnya aktiviti judi dalam talian.

“Polis Perak dan Kerian telah melakukan serbuan ke atas dua lokasi yang disyaki di kawasan tersebut.

“Serbuan pertama berjaya menahan seorang lelaki berusia 21 tahun, manakala dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 32 tahun berjaya ditahan pada serbuan di lokasi kedua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN