REMBAU – Kejadian sebuah rumah di Kampung Chuai Baru, di sini yang diserang api misteri bukan sahaja memberi tekanan kepada penghuninya, malah turut mengejutkan seorang tukang yang melihat depan matanya bagaimana ia berlaku.
Hamzah Tajudin, 39, berkata, kejadian langsir terbakar pada pukul 8.30 pagi 25 Julai lalu yang dilihat ketika hari pertama datang bekerja di rumah bersebelahan sukar dilupakan.
Katanya, dia kemudian segera membantu keluarga berkenaan memadamkan api.

“Pada mulanya, saya tidak tahu apa sebenarnya terjadi dan terkejut melihat asap kerap datang dari rumah itu ketika saya sedang bertukang.
“Bila sudah tahu, saya terus beritahu pemilik rumah bila nampak sahaja asap. Kasihan juga saya lihat pemiliknya terpaksa berlari ke depan ke belakang untuk padam api yang entah dari mana datangnya,” katanya.
Menurut Hamzah, dia turut membantu memadamkan api yang agak besar kerana bimbang kebakaran lebih buruk berlaku.
Tambahnya, dia percaya pasti ada jalan penyelesaian terhadap masalah itu dan berharap ada orang yang boleh membantu mangsa.














