fbpx
KRISIS kekurangan ubat-ubatan dijangka berlarutan sehingga penghujung tahun ini. – GAMBAR HIASAN

Ubat kekurangan hingga hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Krisis bekalan ubat dijangka berlarutan sehingga penghujung tahun ekoran negara ketika ini semakin terdedah dengan pelbagai jangkitan serta peningkatan kes demam, batuk serta selesema dan penyebaran virus berbahaya.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, peningkatan kes jangkitan seperti influenza dan penyakit-penyakit berbahaya seperti Covid-19, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ­telah memburukkan lagi keadaan tersebut.

“Semua ini memerlukan ubat bagi kegunaan merawat demam, batuk, selesema sebagai keutamaan dan ia telah mengganggu rantaian bekalan ubat-ubatan di­sebabkan permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” ­katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Amrahi ­me­minta agar pihak farmasi mencadangkan pengguna untuk merujuk ke fasiliti-fasiliti ­kesihatan awam yang lain bagi membuat pemeriksaan kesihatan sekiranya perlu serta memudahkan mereka mendapatkan bekalan ubat diperlukan.

“Sebenarnya sejak Oktober 2021 di mana stok ubat-ubatan ini adalah tidak stabil sehinggalah April 2022 yang keadaannya lebih meruncing.

“Ramai yang datang farmasi untuk beli ubat dan ada pengguna yang ingin jadikan sebagai stok simpanan di rumah, namun bekalan di farmasi tidak cukup untuk menampung semua permintaan sekarang lebih-lebih lagi, makin kerap penambahan pesakit yang mengalami demam dan batuk,” ujarnya.

Melihat kepada situasi ­parasetamol yang sudah tidak mempunyai bekalan simpanan, Amrahi meminta kerajaan untuk menggantikan jenama itu kepada jenama yang lain untuk dipasarkan bagi keperluan orang ramai di negara ini.

“Maka jika tiada jenama (parasetamol) ini, boleh sahaja menukarkan kepada jenama lain yang tetap didaftarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) kerana ia satu keperluan di negara ini.

Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai ­berkata, pihak pengedar ubat-ubatan ­import sedang mengambil ­langkah untuk memastikan bekalan diedarkan kepada doktor dan farmasi apabila stok sudah tiba.

“Satu mesyuarat mengenai perkara ini di antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkepentingan lain telah diadakan minggu lalu untuk mempersoalkan isu ini.

“Pengilang telah melihat tahap pengeluaran mereka untuk memenuhi pesanan yang datang daripada doktor dan farmasi,” kata beliau.

Beliau turut mengakui bahawa bekalan ubat demam, batuk, selsema dan sakit tekak adalah yang paling terjejas.

“Ini termasuk kedua-dua bentuk pil dan juga dalam bentuk cecair. Gangguan bekalan tidak seragam kerana pengagihan bekalan juga bergantung kepada pesanan yang datang dari klinik dan farmasi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN