fbpx
ANTARA ikan besar yang berjaya dipancing para peserta pada pertandingan yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu.

Pupuk kitar semula melalui cabaran joran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUA dalam satu. Itulah matlamat pertandingan memancing yang dikenali sebagai Cabaran Joran 3R yang berlangsung di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur pada Ahad lalu yang berjaya mengumpulkan 821 kilogram (kg) barangan kitar semula melalui 850 penyertaan.

Penerapan elemen kitar semula sebagai syarat pertandingan menjadikan pertandingan anjuran SWM Environment itu berbeza dengan pertandingan memancing yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Boleh dikatakan setiap peserta yang mendaftar diri membawa barangan kitar semula semasa mendaftar, sekali gus memberi kesedaran kepada semua pihak tentang amalan kitar semula di negara ini.

Para peserta dilihat turut mengasingkan barangan kitar semula mengikut kategori seperti tin, kertas dan botol ketika sesi pendaftaran membuktikan bahawa setiap masyarakat peka tentang kaedah kitar semula.

Cabaran Joran 3R yang berlangsung selama empat jam bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menerima sambutan luar biasa daripada para pengunjung yang ingin melihat pelbagai spesies ikan berjaya dibawa naik dari Taman Tasik Permaisuri.


BEGINILAH suasana di kawasan Taman Tasik Permaisuri yang dipenuhi kaki pancing yang mencuba nasib pada Cabaran Joran 3R Ahad lalu.

Orang ramai mula membanjiri kawasan berkenaan seawal 6 pagi dan seolah-olah satu tapak pesta dengan pelbagai aktiviti dianjurkan bagi memeriahkan pertandingan tersebut.

Pelbagai gelagat pemancing yang dapat dilihat pada hari tersebut yang turut membawa keluarga masing-masing dan keadaan ini memberikan gambaran bahawa hobi memancing boleh memupuk semangat kekeluargaan jika dilihat dari perspektif positif.

Ketabahan para peserta menantikan umpan dimakan ikan amat dipuji kerana boleh memupuk sifat sabar dalam diri yang semestinya menjadi sebahagian daripada amalan dalam kehidupan seharian.

Suasana tenang tiba-tiba menjadi riuh selepas beberapa pemancing berjaya menaikkan ikan yang kemudian dibawa ke khemah juri untuk ditimbang dan masing-masing berharap beroleh sesuatu di penghujung pertandingan itu.

Pada pertandingan tersebut, seorang pelajar dari Hulu Langat, Selangor, Muhammad Liwauddin Hamdi, 22, berjaya membawa naik ikan patin seberat 12.45kg.

Ini menjadikan beliau dinobatkan juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 sekali gus menewaskan 850 peserta lain pada pertandingan itu.


PESERTA membawa barangan kitar semula yang telah diasingkan mengikut kategori.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Azrul Che Ali, 36, yang mendaratkan seekor patin seberat 12.15kg dan menerima hadiah wang tunai RM3,000.

Sementara tempat ketiga disandang oleh Mohammad Imaduddin Izzul Mohd. Adnan Islam, 20, selepas menaikkan patin seberat 10.86kg dan dia menerima wang tunai RM1,000 sebagai hadiah.

Terdahulu, penganjur pertandingan melepaskan sebanyak 600kg ikan bersaiz 4 hingga 7kg ke dalam Tasik Permaisuri sebagai simbolik kepada pertandingan Cabaran Joran 3R.

Dalam pada itu, Muhammad Liwauddin berkata, dia terkejut apabila dinobatkan sebagai juara.

Katanya, dia merancang untuk menggunakan hadiah kemenangan itu untuk keperluannya bagi memasuki sebuah institusi pengajian tinggi swasta tidak lama lagi.

Ujarnya, dia menyertai pertandingan itu hanya suka-suka kerana mengikuti bapa saudara yang turut bertanding.

“Kemenangan ini amat bermakna buat saya dan bersyukur sangat.

“Saya tidak menunggu masa lama dan dalam tempoh 10 minit berjaya menaikkan patin. Tidak sangka pula ikan yang dipancing itu paling berat dalam pertandingan ini,” katanya.

WAJAH-WAJAH ceria para pemenang yang berjaya pulang dengan hadiah wang tunai masing-masing pada pertandingan tersebut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN