PADANG BESAR – Sindiket pengedaran ganja dijangka beralih kepada dadah yang lebih menguntungkan antaranya jenis heroin dan Amphetamine Type Stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda dan pil MDMA.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, situasi itu merupakan kesan jangka panjang yang dijangka berlaku susulan kebenaran penanaman dan penggunaan ganja di Thailand.
“Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan nilai pasaran ganja di Malaysia menurun. Motif penyeludup dan pengedar adalah untuk mengaut untung,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Oleh itu, beliau berpandangan sindiket akan beralih kepada heroin dan dadah jenis ATS bagi mendapatkan keuntungan lebih tinggi sepadan dengan risiko yang perlu ditanggung.
Harga ganja di Thailand ketika ini RM400 hingga RM500 berbanding pasaran gelap Malaysia RM2,200 hingga RM2,500 sekilogram. Sebelum ini. harga ganja di negeri itu adalah RM1,000.
“Harga pasaran gelap syabu di negara jiran pula RM22,000 berbanding RM36,000 sekilogram di Malaysia,” katanya.
Mengenai kegiatan penyeludupan ganja dari Thailand, Surina berkata, penyeludup mungkin akan menyeludup biji benih ganja berbanding pokok kerana mudah disembunyikan.
“Penduduk tempatan mungkin akan cuba menanam pokok ganja ini secara persendirian dan menyemainya untuk dijual kepada peminat dan penagih,” ujarnya.
Jelasnya, penyeludup biasanya bersubahat dengan penduduk di perkampungan sempadan untuk mengaburi kegiatan haram mereka selain cuba menyeludup dengan kaedah berselerak iaitu lokasi berubah-ubah.
“Antara kawasan hot spot penyeludupan yang dikenal pasti ialah Wang Kelian, Chuping, Kampung Melayu dan Kampung Kolam (Jalan Darat), manakala kawasan perairan pula Kuala Perlis dan Sanglang.
“Ini cabaran yang perlu dihadapi pihak berkuasa dalam menyekat penyeludupan dan mustahil untuk meletakkan anggota di setiap pelusuk untuk menyekat penyeludupan dadah kerana bentuk muka bumi yang tidak mengizinkan,” katanya.














