VOLKSWAGEN Golf GTI dikenali sebagai Raja Hatchback sejak dilancarkan pada Pameran Motor Frankfurt di Jerman pada tahun 1975.
Model ini juga dikatakan pernah menjadi penanda aras sebagai sebuah kenderaan sport kompak kerana berjaya menawarkan keseronokan pemanduan sporty.
Pada April lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan model Golf GTI generasi kelapan di Litar Antarabangsa Sepang.
Ini merupakan varian GTI yang pertama dipasang di luar Jerman dan China. Model ini dipasang di kilang di Pekan, Pahang dan menjadi satu pencapaian bersejarah kerana kali pertama GTI dipasang di luar dua negara berkenaan.
Varian GTI ini penuh dengan inovasi dan standard baharu bagi memberi keterujaan kepada para pelanggan mereka.
Model terkini GTI menawarkan prestasi lebih berkuasa dengan menggunakan enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan transmisi klac basah DSG tujuh kelajuan.

Gabungan tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 245PS dan tork tertinggi 370Nm. Penggunaan bahan apinya pula sekitar tujuh liter untuk perjalanan 100 kilometer (km).
Antara keunikan model ini adalah seperti sistem Vehicle Dynamics Manager yang membolehkan personalisasi pemanduan dibuat. Selain daripada beberapa mod sedia ada, ia juga mempunyai mod individu.
Tambah unik, Volkswagen Golf GTI ini menawarkan Driver’s Workspace yang merupakan landskap dalaman digital sepenuhnya yang menawarkan kemudahan dan aspek ketersambungan lancar.
Ia juga hadir dengan Digital Cockpit generasi baharu 10.25 inci bersama pelbagai pandangan serta warna tema. Ini termasuklah gayaan spesifik GTI, stereng multifungsi dengan kawalan sentuh haptik dan ciri pemanas.
Sistem infotainment Discover Media berukuran 10 inci pula menawarkan navigasi binaan dalam 3D, CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta tujuh unit pembesar suara berkualiti tinggi.
Selain itu, kawalan intuitif operasi kenderaan ini disokong oleh sistem arahan suara pintar yang boleh diaktifkan dengan mudah melalui sapaan ‘Hello Volkswagen’ atau menekan butang suara pada stereng.
Ia akan memberi maklum balas kepada arahan suara yang intuitif seperti I’m cold (saya sejuk) dengan menaikkan suhu.
Kualiti pengecaman dan suara untuk panggilan telefon juga lancar kerana ia boleh mengesan individu yang bercakap sama ada pemandu atau penumpang hadapan serta memberi maklum balas sewajarnya.
Ia dapat mengenal pasti zon suhu yang perlu diubah sekiranya pengguna memberi arahan suara intuitif.

Sebagai sebuah kenderaan dengan ciri-ciri moden, model ini turut dilengkapi dengan pilihan 30 warna lampu ambien yang boleh disambungkan kepada mod pemanduan atau berdasarkan mood dan kecenderungan pengguna.
Terdapat lima mod warna yang telah ditala iaitu (Infinity, Eternity, Desire, Euphoria, Vitality) dan tetapan individu untuk dipilih.
Suasana ruang kabin yang selesa dan menenangkan itu dipertingkatkan lagi dengan sistem pendingin hawa tiga zon.
Dari sudut rekaan, GTI dapat dikenali serta-merta menerusi gril hadapan jenis honeycomb dan kemasan merah GTI yang merupakan signaturnya.
Ia dipasang dengan rim aloi Richmond bersaiz 18 inci selain lampu utama dan lampu belakang LED sepenuhnya.
Masuk ke ruang dalaman pada bahagian hadapan, tempat duduk buket didapati dengan kemasan berwarna merah. Tempat duduk pemandu juga hadir dengan ciri-ciri memori dan sokongan lumbar yang boleh dilaras secara elektrik. Semua tempat duduk dibalut kulit Vienna untuk memberi lebih keselesaan.
Di bahagian belakang, ruang kargo seluas 374 liter pula boleh memuatkan peralatan sukan dan riadah yang besar.

Satu lagi ciri pintar kenderaan ini ialah akses pantas kerana pintu akan dibuka secara automatik apabila kunci berada dalam zon pengesanan tertentu.
GTI juga didatangkan dengan ciri Tyre Pressure Loss Indicator yang memberi amaran jika tekanan tayar semakin rendah.
Jelas di sini, model tersebut dibina untuk keselamatan, malah kerangkanya dicipta menggunakan kombinasi besi berkualiti tinggi untuk menawarkan perlindungan maksimum kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan.
Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah ESC (Electronic Stability Control), Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kedua, Electronic Differential Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer, enam beg udara untuk perlindungan pasca perlanggaran serta banyak lagi.
Selain warna Kings Red (merah), VPCM menawarkan empat warna lain untuk varian GTI seperti Atlantic Blue (biru), Moonstone Grey (kelabu), Deep Black (hitam) dan Oryx White (putih) tanpa sebarang caj tambahan.
VPCM menyokong aspek selepas jualan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Layari Volkswagen eShowroom: https://eshowroom.volkswagen.com.my/ untuk keterangan lanjut.














