JOHOR BAHRU – Tindakan seorang suami yang menegur isterinya kerana tidak memasak akhirnya memakan diri sendiri apabila wanita itu naik angin sehingga dipercayai sanggup memukul lelaki itu sampai mati di sebuah rumah flat di Taman Daya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes pembunuhan itu pada pukul 7.50 pagi sebelum pasukannya bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa yang berusia 44 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring di dalam rumah tersebut.
Katanya, polis turut berjaya menahan suspek wanita yang berusia 35 tahun di kawasan sekitar perumahan itu pukul 9.15 pagi.
“Anak lelaki sulung pasangan itu merupakan saksi kepada kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Pasangan itu mempunyai dua anak berusia 2 dan 11 tahun.
Raub berkata, suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Ujarnya, siasatan awal mendapati, suspek membunuh suaminya dengan memukul kepala menggunakan objek tumpul.
Berita berkaitan: Lelaki mati dibelasah bini
“Suspek dipercayai membunuh mangsa kerana berada di bawah pengaruh dadah.
“Polis juga masih mengesan seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu,” ujarnya.
Beliau memberitahu, suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan dua kes dadah dan satu kes jenayah.
Katanya, suspek akan dikenakan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, sumber memberitahu, suspek dijumpai dalam keadaan kakinya terikat dan terdapat kesan lebam di bahagian sebelah kanan mukanya.
Katanya, sebelum kejadian, suami isteri itu bertengkar selepas lelaki terbabit menegur isterinya kerana tidak memasak.
Dalam pada itu, seorang jiran mangsa yang ingin dikenali sebagai Zaidah, 46, mendakwa, pasangan suami isteri terbabit memang kerap bergaduh dan dia sering mendengar bunyi bising dari rumah mereka.
“Saya memang kenal pasangan suami isteri itu, tetapi kami tidaklah terlalu rapat, cuma dia selalu datang beli burger di gerai saya.
“Wanita berkenaan nampak baik, cuma dia kerap marah, tetapi saya tidak faham apa yang diperkatakan kerana dia bercakap dalam bahasa Mandarin,” ujarnya.
















