fbpx

Peniaga untung, pengguna sapu licin air mineral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bekalan air mineral habis disapu pelanggan ketika tinjauan di sebuah pasar raya di Kepala Batas, Seberang Perai Utara di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Peniaga dan pengusaha kedai runcit di negeri ini umpama mendapat durian runtuh apabila jualan bagi bekalan air mineral di premis mereka dikatakan habis disapu pelanggan kurang sejam sejak petang semalam.

Tinjauan Kosmo! di sini hari ini mendapati rata-rata kedai runcit dan pasar raya sekitar Seberang Perai dilaporkan sudah kehabisan stok air minuman tersebut ekoran masalah gangguan bekalan air terputus melibatkan seluruh daerah sejak pukul 1 tengah hari.

Seorang peniaga, Ang Meng Chang, 45 berkata, orang ramai mula menyerbu kedai runcitnya yang terletak di Bertam Indah, Kepala Batas dekat sini sekitar pukul 1 tengah hari semalam dan memborong air mineral dalam kuantiti yang banyak tanpa mempedulikan pelanggan lain.

“Memang ramai yang cari air mineral sejak semalam sampailah ke hari ini. Pagi ini pun ada juga (pelanggan) yang tanya (air mineral), namun sudah habis stok.

“Tapi, nak buat macam mana..sebarang kemungkinan boleh berlaku meskipun situasi semalam memberi kesempatan kepada peniaga untuk menjana pendapatan lebih berbanding hari biasa,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di premisnya di sini hari ini.

Seorang lagi pembantu pasar raya mini, Nur Amylia Issak, 30, pula berkata, jika sebelum ini stok air mineral memakan masa hampir tiga hingga ke empat hari untuk dijual kepada pelanggan namun situasi semalam menyebabkan stok habis terjual dalam masa tidak sampai satu jam.

“Situasi semalam memang mengejutkan, tapi kami sudah bersedia dan keadaan di pasar raya adalah terkawal. Saya harap situasi ini tidak berlarutan sebab banyak kerja akan tergendala jika bekalan air tiada secara berterusan,” katanya yang sudah bekerja di kedai tersebut sejak dua tahun lalu. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI