fbpx
Kerajaan negeri diminta membantu penduduk yang terkesan sehingga kehilangan tempat tinggal dalam kejadian kelapa air di Baling kelmarin.

Banjir Baling: Bimbang kejadian kepala air berulang jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kebimbangan orang ramai berhubung kejadian kepala air di Gunung Inas, Kampung Iboi dekat Baling tahun lalu akibat aktiviti tebus guna tanah di kawasan berkenaan seolah-olah menjadi kenyataan.

Penasihat Sahabat Alam Sik (SAS), Mohd. Sobri Ramlee, berkata, pihaknya pernah me­nyuarakan kebimbangan dan menyifatkan kawasan berkenaan diibaratkan sebagai bom jangka jika aktiviti penerokaan tanah di gunung berkenaan tidak diuruskan dengan betul.

“Kami sudah sampai ke kawasan (penerokaan tanah) di Gunung Inas ini banyak kali. Sungai Iboi yang mana berlaku banjir lumpur semalam (kelmarin) adalah laluan utama dari puncak gunung itu.

“Apabila terjadi insiden ke­pala­ air di Gunung Jerai tahun lepas, kami melahirkan kebimbangan bahawa Gunung Inas juga berkemungkinan berlaku insiden yang sama,” katanya di sini semalam.

Mohd. Sobri mendakwa, kejadian kepala air itu mungkin terjadi ekoran kolam sedimantasi yang dibina berdekatan projek penerokaan tanah tidak mengikut standard Jabatan Alam Sekitar termasuk non penampan.

“Kemungkinan projek yang dibangunkan tidak memenuhi kriteria pembukaan ladang hutan seperti pembukaan di kawasan cerun yang di bawah 25 peratus,” ujar aktivis ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pu­lau­ Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihak­nya menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera dan berkesan agar kejadian tersebut tidak berulang.

“Selain membantu mangsa yang terlibat dengan masalah ini membina semula rumah me­reka serta membayar pampasan yang setimpal dengan kerugian yang dialami akibat kemusnahan harta benda, CAP turut me­minta pihak kerajaan memulihkan tanah pertanian yang terancam kerana ia merupakan sumber pendapatan utama penduduk-penduduk di sini,” ujarnya.

Jelasnya, CAP melahirkan ke­bimbangan penduduk yang ter­kesan akan hidup dalam ketakutan terutama pada musim hujan sekiranya tiada tindakan.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sebanyak sembilan buah sekolah dikenal pasti terjejas dalam kejadian banjir dan kepala air berkenaan dan Jabatan Pendidikan Negeri­ (JPN) Kedah serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling telah diminta untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN