SELEPAS kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri, selain memberi lebih banyak kebebasan kepada orang ramai ekoran kebolehjangkitan terhadap Covid-19 semakin menurun, hampir kesemua sektor ekonomi kembali rancak.
Antara yang kembali pulih adalah sektor pelancongan apabila orang ramai mula kembali merancang percutian ke seluruh negara selepas kira-kira dua tahun tidak dapat berbuat demikian ekoran penularan Covid-19.
Bagi Haryani Kaulan, 40, dia mempunyai cara tersendiri untuk bercuti bersama keluarga dengan memilih motorhome sebagai konsep percutian mereka.
“Saya rasa bercuti menggunakan motorhome sangat unik dan memberi lebih kepuasan kerana bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga dapat raih pengalaman yang lain daripada kebiasaan.
“Malah, suami dan anak-anak juga berasa seronok kerana dapat bercuti secara santai di mana-mana sahaja lokasi yang kami inginkan tanpa perlu membuat tempahan bilik hotel ,” katanya.
Dia ditemui ketika menyertai acara RV Town yang diadakan di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya sempena program Karnival Jom Heboh dari 25 dan 26 Jun lalu.
Motorhome atau turut dikenali sebagai RV merupakan sebuah kenderaan rekreasi.
Ia terdiri daripada kenderaan berat atau bersaiz besar yang diubah suai dengan dilengkapi badan atau kabin yang menyerupai sebuah rumah bergerak bersaiz kecil.
Campervan pula kenderaan menyerupai van yang diubahsuai dan dilengkapi dengan meja, kerusi, katil, tandas dan dapur untuk tujuan rekreasi.
Bercerita lanjut, Haryani berkata, dia mula terjebak dengan aktiviti percutian sebegitu selepas membeli sebuah motorhome terpakai dari Jepun yang dijual oleh sebuah syarikat pembekal di negara ini pada April lalu.

BERCUTI menggunakan motorhome amat menjimatkan kerana tidak perlu memikirkan untuk menempah bilik hotel.
“Selepas memiliki motorhome sendiri yang dibeli dengan kos hampir RM100,000, saya memulakan percutian bersama keluarga di beberapa negeri.
“Apa yang menariknya, setiap kali singgah di mana-mana lokasi khususnya untuk bermalam,pasti ada orang yang bertegur sapa dan bertanyakan mengenai motorhome kami.
Bagi seorang lagi pemilik motorhome, Nurhikmah Ramli, 39, dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan RM700,000 untuk membeli kenderaan itu yang dibawa masuk dari Eropah.
Walaupun mengakui kos untuk memiliki sebuah motorhome sederhana besar agak tinggi, namun ia satu pelaburan berbaloi memandangkan dia tidak perlu lagi mengeluarkan kos untuk menempah penginapan setiap kali bercuti bersama keluarga.
“Bayangkan untuk beberapa tahun akan datang, saya akan terus menggunakan motorhome ini sebagai penginapan kami sekeluarga, tentu banyak kos dapat dijimatkan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia, Farman Othman berkata, aktiviti percutian menggunakan konsep tersebut sebenarnya telah bermula di negara ini sejak 1970-an lagi.
Namun katanya, disebabkan ia dianggap konsep percutian mewah, tidak ramai yang berminat untuk memiliki kenderaan terbabit.
“Percutian menggunakan campervan dan motorhome mula berkembang di negara ini selepas kerajaan membuat keputusan tidak mengenakan
AP atau lesen import kenderaan terhadap kenderaan jenis ini pada tahun 2016.
“Bermula dari situ, semakin banyak campervan dan motorhome terpakai dibawa masuk dari Eropah dan Jepun ke negara ini dan permintaan semakin meningkat.
“Tambahan pula ketika negara dikenakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan yang menghadkan sektor pelancongan, selain sektor perhotelan yang ditutup, membuatkan ramai mula memilih untuk memiliki campervan dan motorhome sebagai penginapan ketika bercuti,” katanya.

KELEBIHAN menggunakan kenderaan rekreasi seperti ini adalah dapat bercuti secara santai bersama keluarga di mana-mana lokasi yang diinginkan.
Menurut Farman, tindakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan yang turut membenarkan pengubahsuaian kenderaan untuk dijadikan campervan dan motorhome di negara ini, turut membantu merancakkan penjualan dan pemilikan kenderaan rekreasi terbabit.
Tambahnya, sejak ditubuhkan secara rasmi pada Januari 2020 sehingga kini, persatuan itu memiliki seramai 492 ahli dengan jumlah kenderaan dimiliki melebihi 400 buah melibatkan pelbagai jenama dan saiz.
















