KEMAMAN – “Kami baru tahu ibu memang benar-benar sedang mengandung selepas diberitahu oleh pegawai perubatan sejurus proses bedah siasat selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Dungun.”
Itu kata anak sulung kepada seorang wanita yang maut bersama suami ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis jenis Aprilia RSV4 di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Tanjung Jara, Dungun kelmarin.
Kemalangan kira-kira pukul 5 petang itu berlaku ketika Mohd. Abdika Razali, 36, dan isteri, Rabiatuladawiah Saufi, 36, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pengkalan Binjai, Kemaman dari perhimpunan motosikal besar-besaran di Kuala Terengganu sebelum merempuh sebuah kenderaan.
Menurut anak mangsa, Muhammad Amirullah Mohd. Abdika, 16, sebelum ini ibunya pernah memberitahu dia dan dua adiknya yang berusia 8 dan 13 tahun mengenai kehamilannya, namun mereka menyangkakan itu sekadar bergurau.
“Memang biasa ibu bergurau, namun kini baru kami sedar dia benar-benar mengandung,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Binjai di sini semalam.
Katanya, mereka adik-beradik pasti tidak akan melupakan kenangan bercuti bersama di Gunung Jerai, Kedah baru-baru ini.
Katanya, percutian itu agak mengejut dan mereka tidak membuat sebarang persiapan termasuk membawa pakaian.
“Asalnya, kami hanya keluar makan di Kuala Terengganu sebelum pa (bapa) dan ma (ibu) ajak kami ke Gunung Jerai tanpa membawa apa-apa pakaian.
“Tak sangka itu adalah percutian kami sekeluarga yang terakhir,” katanya sayu.

Sementara itu, ibu Rabiatuladawiah, Rahani Ismail, 61, berkata, mereka berjanji untuk menjaga tiga cucunya itu dengan sebaik mungkin.
Jenazah Rabiatuladawiah dan suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapor, Binjai di sini pukul 3 pagi semalam.
Berita berkaitan: Suami isteri maut rempuh Toyota Inova keluar simpang
Sementara itu, rakan suami isteri itu, Adnan Othman, 44, mendakwa, Mohd. Abdika telah sedaya upaya mengelak daripada merempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Innova yang tiba-tiba keluar simpang.
Katanya yang sedang menunggang motosikal di belakang mangsa, Mohd. Abdika telah membrek motosikal ditunggangnya dengan kuat sehingga menyebabkan tayarnya berasap.
“Waktu itu, motosikal dinaiki saya dan isteri berada kira-kira 50 meter di belakang mereka.
“Sebaik saya nampak kenderaan Toyota Innova itu keluar simpang tiba-tiba, saya sempat menjerit nama Mohd. Abdika kuat-kuat, namun kemalangan tetap berlaku,” katanya.
Adnan berkata, dia dan isteri sempat mengajar kedua-dua mangsa mengucap dua kalimah syahadat sebelum mereka menghembus nafas terakhir tidak lama kemudian.
Kosmo! Online semalam melaporkan, gara-gara sebuah kenderaan pelbagai guna yang dipandu seorang lelaki warga China keluar simpang secara tiba-tiba, sepasang suami isteri maut dalam kemalangan di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan Tanjung Jara, Dungun kelmarin.
Mohd. Abdika yang juga peniaga ayam dan isterinya meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.














