Gambar hiasan.

Anwar perlu tunggu 7 hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tertangguh buat sementara waktu ekoran baginda perlu menerima rawatan lanjut selama tujuh hari lagi di ­Institut Jantung Negara (IJN).

Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, tidak ada pertemuan dalam tempoh terdekat di antara Pre­siden Parti Keadilan Rakyat itu dengan Seri Paduka.

Katanya, keadaan kesihatan Al-Sultan Abdullah ketika ini masih tidak mengizinkan ba­ginda untuk menerima menghadap Ketua Pembangkang itu.

“Ketika ini, kesihatan Al-Sultan Abdullah masih dipantau pasukan perubatan IJN.

“Atas nasihat perubatan, rawatan baginda perlu dilanjutkan dan mengambil masa lebih kurang seminggu lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

 

AL-SULTAN ABDULLAH

 

Semalam Kosmo! melaporkan Anwar mendakwa telah diper­kenan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah pada pukul 11 pagi 21 September lalu, namun terpaksa dibatalkan ekoran baginda menerima rawatan di IJN.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan tarikh baharu pertemuan Anwar dengan Yang di-Pertuan Agong, Ahmad Fadil berkata, perkara itu akan diputuskan selepas baginda sihat sepenuhnya.

“Tidak akan berlaku (pertemuan di IJN). Seperti dikatakan, kena tunggu baginda kembali pulih dan keluar hospital, baru urusan menghadap diputuskan semula.

“Semua urusan berkenaan perlu melalui cara yang betul, jadi tidak akan ada apa-apa pertemuan ketika ini,” jelasnya.

Al-Sultan Abdullah kelmarin meminta semua pihak untuk kekal bertenang susulan pergolakan politik negara ketika ini.

Seri Paduka turut bertitah agak pihak berkenaan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara selain menasihati rakyat untuk menjaga kesihatan diri ekoran masih diancam penularan wabak Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN