PETALING JAYA – Lebihan jari kecil dimiliki seorang kanak-kanak lelaki sejak lahir bukan satu kekurangan sebaliknya dia menganggap dirinya bertuah dan unik sekali gus berbeza dengan rakannya yang lain.
Muhammad Izz Danial Mohd. Hilmi Shazni, 6, dilahirkan dengan jari kecil tersebut atau istilah perubatan dipanggil polidaktili dan jari berkenaan tergantung pada jari kelingkingnya serta tidak bertulang.
Ibu kanak-kanak itu, Nurulain Jaludin, 33, yang juga seorang suri rumah berkata, selepas anak tunggalnya dilahirkan pada 2015, doktor memaklumkan supaya bertemu dengan pakar tulang, namun dia serta suami tidak berbuat demikian.
“Kami lihat ada lebihan jari kecil pada tangannya dan doktor beritahu ia rezeki. Saya fikir ia tidak ada kena mengena dengan tulang, jadi kami tidak bertemu dengan pakar.
“Buat masa ini, anak saya tiada niat untuk membuangnya serta memanggilnya jari itu ‘baby’. Malah, dia berasa unik kerana orang lain tiada jari kecil itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ujarnya lagi, seorang daripada anak buah suaminya turut dilahirkan dengan polidaktili tetapi ia telah dibuang selepas menyertai kerjaya polis.
Nurulain berkata, Muhammad Izz Danial juga tidak menghadapi masalah di sekolah sebaliknya, dia sering menjadikan jari itu sebagai bahan gurauan dan usikan kepada rakan-rakannya.
“Saya maklumkan kepada guru mengenai anak dan meminta diperhatikan kerana bimbang ada kawan-kawannya yang menariknya. Kadangkala dia sorok jari kecil itu dalam genggaman.
“Ada juga dia bergurau takutkan kawan-kawan yang lain. Dia juga suka menggunakan jari itu sewaktu mengira dan belajar matematik,” ujarnya.
Sementara itu, Nurulain yang tinggal di Bukit Katil, Melaka berkata, lebihan jari tersebut juga tidak memberi kesan kepada masalah kesihatan anaknya.














