IKAN toman atau secara globalnya dikenali sebagai giant snakehead atau giant mudfish merupakan antara spesies pemangsa yang boleh didapati dengan mudah di negara ini.
Spesies yang banyak mendiami kawasan tasik dan sungai ini terkenal dengan sifat ganas, selain memiliki kekuatan dan stamina tinggi untuk melawan tarikan joran.
Justeru, tidak hairanlah jika ikan dari genus Channa dalam keluarga Channidae yang memiliki bentuk kepala menyerupai ular itu menjadi antara spesies buruan kaki pancing yang ingin mencari kepuasan tersendiri.
Perkara itu diakui sendiri seorang kaki pancing, Shahmi Abid Zulkarnain, 28, yang kerap menjadikan ikan toman sebagai buruannya.
Dia yang bekerja dalam sektor perkilangan berkata, mula berjinak-jinak menjadi pemburu toman sejak 2018 selepas mengikuti beberapa rakan memancing di Tasik Cheroh, Raub, Pahang.
“Pada awalnya saya belajar teknik casting daripada abang sendiri ketika kerap mengikutnya memancing.
“Selepas berasakan teknik casting lebih memberi kepuasan dalam memancing, berbanding teknik biasa yang digunakan sebelum ini, saya mula jadi kemaruk untuk memburu ikan terutama jenis pemangsa.
“Pada 2018, saya mula menjadi pemburu toman selepas mempelajari teknik mengail ikan berkenaan daripada seorang rakan ketika memancing di Tasik Cheroh,” katanya.
Menurut Shahmi Abid, terdapat beberapa teknik yang kerap digunakan oleh kaki pancing untuk memburu ikan toman sama ada di tasik ataupun sungai.
Teknik pertama menggunakan anak ikan hidup, khususnya keli sebagai umpan dengan membiarkan ia berenang di kawasan permukaan air bagi menarik perhatian toman.
Teknik kedua pula katanya, umpan tiruan atau gewang dilempar ke permukaan air dan ditarik menggunakan kaedah casting.
“Saya tidak pernah menggunakan anak ikan hidup sebagai umpan. Sejak menjadi pemburu toman, saya lebih gemar casting menggunakan gewang.

ANTARA ikan toman yang berjaya dijinakkan Shahmi Abid menggunakan teknik casting.
“Bagi saya, teknik ini lebih memberi kepuasan kerana ia memerlukan kemahiran untuk kita memburu dan menarik perhatian ikan menerusi gewang yang dicangkuk pada hujung tali sebagai umpan.
“Ketika gewang diragut dan dilarikan ikan, ketika itulah kepuasan akan mula terasa. Ini kerana, kita seolah-olah berlawan dengan pemangsa yang cuba sedaya upaya untuk melepaskan diri,” ujarnya.
Menurutnya, bagi memburu ikan toman, dia menggunakan tali bersaiz antara 30 paun hingga 40 paun dan dipadangkan dengan gewang bersaiz 100 hingga 200.
Katanya lagi, walaupun kerap berjaya menaikkan ikan toman pelbagai saiz, tetapi dia tidak pernah membawanya pulang sama ada untuk dijual atau dijadikan hidangan.
Sebaliknya kata Shahmi Abid, dia lebih suka amalkan cara tangkap dan lepas bagi membolehkan spesies tersebut terus hidup dan membiak di habitat asalnya.
Kata anak jadi Kuala Lipis itu lagi, antara lokasi yang menjadi port untuknya melepaskan gian memancing toman ialah Empangan Klau di Raub, Empangan Sepayang di Rompin dan di Sungai Kuantan, kesemuanya di negeri Pahang.
Sepanjang empat tahun bergelar pemburu toman, dia telah berjaya menaikkan spesies berkenaan seberat 7.1 kilogram (kg) ketika menyertai sebuah pertandingan memanding yang dianjurkan di Tasik Layang-Layang, Kepong, Kuala Lumpur pada tahun 2019.
Ikan berkenaan katanya, telah disahkan sebagai ikan terberat pada pertandingan itu, sekali gus melayakkan dirinya dinobatkan sebagai johan.
Ketika ditanya mengenai kaedah memburu ikan pemangsa itu, jelas Shahmi Abid, dia kerap memerhatikan gerak-geri ikan berkenaan terlebih dahulu terutamanya ketika ia timbul di permukaan air.

Katanya, apabila nampak ikan toman timbul, dia akan memerhatikan dahulu arah ia timbul dan tenggelam.
Kemudian barulah dia melempar gewang ke arahnya.
“Jika sukar untuk melihat ikan timbul, saya akan menggunakan teknik fly-cast iaitu melepaskan gewang ke arah lubuk atau permukaan air dan menariknya dengan laju.
“Ia seolah-olah membuatkan umpan seperti berenang.
“Jika dibuat berulang kali, ia mampu menarik perhatian ikan yang mungkin ketika itu berada di kawasan lebih dalam atau di lubuk yang tersembunyi,” ujarnya.















