fbpx
Melakukan dosa sekali lagi setelah bertaubat bersungguh-sungguh tidak bermakna taubat yang dilakukan sebelum itu palsu.

Allah menerima taubat dosa yang berulang-ulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Seseorang pemuda sering melakukan dosa dan sudah berulang kali bertaubat. Kemudian disebabkan gagal mengawal diri, dia melakukan semula dosa. Adakah taubat yang dibuatnya palsu dan berbohong kepada Allah?

Jawapan:
Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal.” (Surah Ali ‘Imran: 135-136)

Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.

Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf dan mengharapkan keampunan

Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya.

Air mata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa.

Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah. Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama.

Jika dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya, insya-Allah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya.

Kadangkala dia terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

Kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu. Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa.

Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi.

Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali mengulanginya, jangan berputus asa dari rahmat Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN