SHAH ALAM – Kesemua operator air negeri di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan telah menghantar permohonan bagi pelarasan tarif air.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, hampir kesemua kerajaan negeri telah pun memberikan persetujuan terhadap pelaksanaan pelarasan tarif yang dimohon oleh operator mereka.
Katanya, berdasarkan perancangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan SPAN, pelaksanaan mekanisme penetapan tarif (TSM) akan melibatkan seluruh Semenanjung Malaysia dan WP Labuan secara serentak bagi setiap tiga tahun selaras tempoh lesen individu dan rancangan perniagaan yang dikemukakan oleh operator-operator air.
“Di dalam rancangan perniagaan, operator hendaklah memperincikan keperluan perbelanjaan operasi serta perbelanjaan modal bagi pembangunan infrastruktur sepanjang tempoh lesen.
“Pelarasan tarif dibuat mengguna pakai TSM dengan tarif sedia ada akan distrukturkan kepada kategori utama iaitu domestik dan bukan domestik serta kategori khas yang melibatkan institusi keagamaan dan kebajikan, domestik pukal dan perkapalan,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, SPAN juga telah pun mengadakan sesi rundingan awam dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas wakil pengguna di mana maklum balas tersebut telah pun disyorkan untuk pertimbangan dan persetujuan menteri dan seterusnya mesyuarat Jemaah Menteri.
Ujarnya, proses ini selaras dengan Seksyen 84, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana menteri boleh atas syor SPAN membuat peraturan-peraturan untuk menetapkan kadar yang hendak dicajkan bagi perkhidmatan bekalan air.
“Kadar tarif air di Malaysia adalah agak rendah iaitu RM0.53 bagi 1,000 liter berbanding negara lain seperti Thailand (RM1.68), Indonesia (RM1.15) dan Laos (RM1.06).
“Oleh itu, sikap pengguna terhadap penggunaan air secara berhemah amat kurang yang menyebabkan pembaziran. Kadar penggunaan domestik air per kapita bagi tahun 2020 adalah sebanyak 244 liter/kapita/sehari (l/c/d) dengan terdapat negeri dengan penggunaan air yang jauh melebihi purata kebangsaan iaitu sebanyak 306 l/c/d,” katanya.















