PETALING JAYA – Kenaikan harga bahan mentah yang mendadak ketika ini memberi tekanan kepada para peniaga untuk terus bertahan ekoran rata-ratanya tidak mampu lagi menanggung rugi besar, namun pada masa sama mendapat margin keuntungan yang terlalu kecil.
Peniaga yang ditemui mengakui, mereka berada dalam dilema sama ada hendak meneruskan pekerjaan yang telah lama mereka ceburi itu atau menutup sahaja kedai ketika baru hendak bangkit selepas negara dilanda pandemik Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu.
Difahamkan, ketika ini terdapat 12,500 penjaja berdaftar di Kuala Lumpur dan jumlah itu mungkin lebih kerana ada yang tidak memohon lesen untuk berniaga.
Peniaga mengibaratkan nasib mereka seperti telur di hujung tanduk kerana dibebani dengan kenaikan harga bahan mentah, namun pada masa sama kekurangan pelanggan yang mula memilih untuk tidak berbelanja di luar.
Peniaga makanan aneka jenis mi dan sup di Taman Segar, Cheras, Ruzailina Yatim, 34, berkata, dia baru membuka semula perniagaannya yang terhenti akibat Covid-19.
“Kami baru hendak bangkit dan timbul pula isu kenaikan harga barangan yang mendadak. Ia bukan sahaja meningkatkan kos operasi hampir 70 peratus, malah melibatkan kerugian yang agak tinggi.
“Impak kenaikan menyebabkan ramai pembeli mula kurang berbelanja makan di luar kerana mahu berjimat, namun bagi peniaga, saya tiada pilihan melainkan meneruskan perniagaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Ruzailina, berniaga sudah menjadi darah dagingnya sejak puluhan tahun dan faktor yang tidak dijangka itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan, malah menyebabkan ramai peniaga sepertinya berputus asa.
Tambahnya, ramai pelanggan merungut kerana dia menaikkan harga daripada RM6.50 kepada RM8.50 untuk semangkuk mi kari.
“Bagaimanapun, selepas saya menerangkan kepada pelanggan mengenai situasi dihadapi, mereka faham dan akur,” katanya.
Ujar Ruzailina, dia berharap kerajaan dapat memberi bantuan selain melonggarkan syarat memohon bantuan sebagai salah satu alternatif buat peniaga.
Sementara itu, peniaga air di Desa Pinggiran Putra di Putrajaya, Safri Roslan, 32, berkata, dia turut berasa impak kenaikan harga barang walaupun baru memulakan perniagaan pertengahan tahun 2021.
“Untung yang saya dapat hanya melepasi paras modal kerana orang sudah kurang membeli. Saya terpaksa kekalkan harga dan kualiti kerana khuatir pelanggan akan lari di mana ia memberi kesan kepada jumlah keuntungan.
“Kami kini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan diharap kerajaan dapat berbuat sesuatu untuk membantu,” katanya.
Kenaikan harga barangan turut menjejaskan perniagaan pakaian terpakai secara online yang diusahakan oleh Fisa Hazlan, 32.
“Sudahlah kurang pelanggan, kedai saya tiada sambutan memandangkan ia bukanlah keperluan asas. Ia berbeza ketika sebelum pandemik.
“Saya berharap pihak berkuasa mengambil alternatif dalam menyelesaikan perkara ini selain berdoa masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya yang menetap di Kajang, Selangor.
















