fbpx

‘Persandingan’ Amira Othman, Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL TAHIR dan Amira Othman.

“SAYA menaruh harapan tinggi mahu menembusi pentas-pentas besar yang belum dirasai. Macam abang Faizal (Faizal Tahir), dia sudah bertahun-tahun rasa bertanding dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).”

Bicara bersulam harapan menggunung itu terbit dari bibir penyanyi Amira Othman usai melancarkan single baharunya, Alah Bisa berpadu dengan Faizal Tahir, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar, Nadia Amira Othman setulusnya mengakui menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke pentas AJL menerusi karya yang bernuansakan muzik rakyat tersebut.

“Sejak saya masuk industri, belum pernah berkesempatan bertanding di pentas tersebut. Sebelum ini ada lagu dengan Sufian Suhaimi, namun setakat peringkat separuh akhir.

FAIZAL dan Amira berpendapat, lagu rakyat mempunyai nilai tersendiri yang dekat dengan pencinta muzik tempatan.

Tak menang

“Pada masa sama, kita merancang Tuhan menentukan.

“Kalau Allah belum tentukan rezeki, maka kita akan terus berusaha. Saya teringin sebab itu satu pengalaman yang belum dirasai, harapnya ada rezeki nanti,” ujarnya.

Tambah Amira, sejak mula menyanyi seawal usia 12 tahun, tidak semua pertandingan yang disertai memulangkan hadiah kemenangan buat dirinya.

“Kalau masuk pertandingan 100 kali, yang kalah 99 kali, menang sekali sahaja.

“Memanglah sedih tapi minat itu yang selama ini menderaskan langkah saya supaya tidak mudah mengaku kalah.

“Saya percaya, semua orang pun begitu. Apabila kita buat sesuatu yang kita suka, jarang kita berputus asa.

“Begitulah nyanyian dalam jiwa saya, akan akan teruskan perjalanan dalam bidang ini selagi ada rezeki dan saya tidak akan berputus asa.

“Saya sentiasa ingin memberi karya-karya yang baik untuk semua pendengar dan penyokong, insya-Allah,” tutur Amira, 29.
Garau, jantan Faizal Tahir

Ditanya mengapa memilih Faizal sebagai rakan duetnya kali ini, jawab Amira: “Saya memang sentiasa terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu sepanjang saya menjadi anak seni.

“Sebenarnya, suara saya lebih kepada bunyi ‘auto’.

“Tona suara saya lebih ke arah itu dan mungkin tak semua penyanyi lelaki sesuai menyanyi dengan saya tetapi Faizal ada ton yang garau dan jantan.

“Secara tak langsung apabila saya berduet dengannya, dia memberi keserasian terhadap kualiti vokal saya.

“Mudah-mudahan siapa yang mendengar lagu ini dapatlah rasa lagu ini cocok di cuping telinga mereka.

“Saya harap dapat menyerap aura hebat Faizal dan sekali gus, dapat diterima ramai pendengar di luar sana,” terang Amira yang juga bekas pengacara rancangan Nasi Lemak Kopi O siaran TV9.

AMIRA menyuarakan harapan besarnya untuk melihat Alah Bisa diterima ramai, paling manis jika layak beraksi di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu.

Amira banyak peningkatan

Dalam pada itu, Faizal atau nama lengkapnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir memberitahu, dia optimis dengan peningkatan kualiti nyanyian yang ada pada Amira sedari bergelar pelajar Akademi Fantasia musim ke-10.

Semasa bersiaran pada tahun 2013, Faizal berperanan sebagai Inspirer dalam program realiti berkenaan bersama beberapa artis ternama lain seperti Melly Goeslow dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Mula-mula saya jadi Inspirer, umur Amira baru 22 tahun. Masih banyak yang dia sedang belajar.

“Saya rasa sebagai seorang penyanyi, keyakinan menyanyi akan meningkat selari dengan usia dalam industri.

“Kita boleh nampak sejak dia luncurkan lagu pertama iaitu Hati-Hati, gaya nyanyiannya lebih kepada fun atau cute apa semua sampailah boleh bawa beban atau berat lagu yang berunsur nasihat ada unsur rakyat.

“Itu bukan satu benda yang semua penyanyi boleh buat. Saya lihat Amira sebagai seorang penyanyi yang dah bertemu kematangan.

“Kena dengan personalitinya. Orang cakap, kalau nak buat lagu macam Alah Bisa yang berunsurkan lagu rakyat dan ada kritikan sosial, kena ‘seasoned’ sikit dan dia dah ada semua itu,” katanya.

FAIZAL dan Amira saling memuji. Masing-masing sangat menghormati nilai bakat dan kematangan dalam industri.

Lagu rakyat, tanggungjawab

Akur bahawa lagu rakyat bukanlah pilihan arus perdana masa kini, Faizal bagaimanapun percaya, komposer tempatan harus lebih menghargai ‘harta’ yang dimiliki zaman-berzaman dengan tidak mengenepikan muzik bernuansakan sedemikian.

“Mungkin 14 atau 16 tahun lalu, saya pun banyak buat lagu, orang kata, berinspirasikan lagu-lagu dari Barat.

“Tapi, apabila kita makin lama dalam industri kita cuba mencari satu kelainan dan timbul ke­sedaran yang sebenarnya, kita ini ada satu keunikan yang negara lain tiada.

“Kita punya notasi muzik, kita punya patah lenggok. Kalau kita fikirkan semua itu betul-betul.

“Sebab itulah, muzik K-pop boleh naik sebab mereka meletakkan fokus kepada kekuatan mereka sendiri,” getusnya.

SELARI dengan usia kariernya dalam bidang seni yang semakin matang, Faizal mengakui agak selektif dengan pemilihan lagu dan dengan siapa dia berkerjasama.

Pelantun lagu Mahakarya Cinta itu percaya bahawa, kalau bukan ‘orang kita’ yang mengangkat seni alam kita sendiri, siapa lagi.

“Kadang-kadang, kita cuba nak buat lagu macam orang barat. Nak buat lagu macam Justin Bieber, Dua Lipa dan lain-lain. Tiada masalah dan tak menjadi satu masalah.

“Tapi, akhirnya nanti kita akan sedar apa yang kita ada itulah yang bagus untuk kita.

“Saya dah sampai ke satu tahap pemikiran sebegitu, alhamdulillah. Saya dah banyak buat lagu yang inspirasi­nya datang dari ‘muzik luar’, sampai saya rasa macam ada yang ‘hilang’.

“Hinggalah saya sedar, kita punya muzik, kita punya lenggok adalah sesuatu yang orang di luar sana tiada. “Orang cakap, lenggok Nusantara, itu yang mahal,” ujarnya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI