TERDAPAT sesetengah wanita di dunia yang menyamar menjadi lelaki bukan kerana tuntutan naluri atau desakan nafsu songsang, sebaliknya kerana masyarakat yang penuh diskriminasi. Ada wanita-wanita kematian suami yang terpaksa melakukannya selama 36 tahun, ada yang sehingga 43 tahun untuk membolehkan mendapat pekerjaan lebih baik bagi menyara anak.
Sekali imbas, perwatakan dan penampilan S. Petchiammal, 57, mirip sekali dengan seorang lelaki seusianya sehinggakan tiada siapa menyangka bahawa dia sebenarnya seorang wanita yang menyamar sebagai lelaki selama lebih tiga dekad.
Petchiammal melakukannya hanyalah demi mencari sesuap nasi buat diri dan anak perempuannya.
Rambut pendek Petchiammal yang dipenuhi uban dengan gaya berjalan persis lelaki menjadikan wanita yang menggunakan nama samaran Muthu itu berjaya memperdaya masyarakat dengan lakonan ‘kelelakiannya’.
Wanita yang berasal dari kampung Katunayakkanpatti, Tamil Nadu, India itu baru berusia 20 tahun ketika suaminya meninggal dunia akibat sakit jantung. Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku ketika pasangan tersebut baru 15 hari berkahwin.
Kampung Katunayakkanpatti merupakan sebuah kampung yang masyarakatnya bersifat patriarki yang dominan, menjadikan Petchiammal sukar untuk mendapat pekerjaan.

Topik diskriminasi jantina merupakan kebimbangan besar selama bertahun-tahun lamanya apabila masyarakat membuatkan golongan wanita sukar untuk meraih peluang pekerjaan yang sama seperti kaum lelaki.
Tugas wanita sering kali dianggap sebagai penjaga keluarga dan dilarang untuk bekerja, sekali gus menyukarkan mereka yang mungkin terpaksa mencari nafkah bagi menyara keluarga.
Demi membesarkan anak perempuannya, Petchiammal kemudiannya mengambil keputusan untuk menyamar sebagai lelaki.
“Saya terpaksa mengubah diri saya dan menjadi ‘Muthu’ selepas kematian suami. Saya berdepan diskriminasi dan gangguan seksual ketika bekerja di beberapa buah tapak pembinaan dan kedai menjual teh sebelum ini.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk pergi ke Kuil Tiruchender Murugan di Tamil Nadu dan memotong rambut saya,” ujarnya.
Petchiammal baru-baru ini mencetus sensasi global apabila kisahnya dilaporkan oleh banyak media antarabangsa yang mendedahkan wanita itu sudah 36 tahun menyamar sebagai lelaki demi membesarkan anaknya, Shanmugasundari.
“Hanya saudara-mara terdekat dan anak perempuan saya yang tahu bahawa saya merupakan seorang wanita.
“Saya telah melakukan pelbagai pekerjaan, daripada seorang tukang cat, pembuat teh sehinggalah penebar roti canai, semuanya untuk terus menyara hidup saya dan anak perempuan saya,” katanya.
Petchiammal berkata, dia juga menggunakan identiti Muthu di dalam semua dokumen rasmi miliknya seperti identiti pengundi dan juga akaun bank.
Biarpun anak perempuannya kini sudah pun berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, Petchiammal belum bersedia mengubah penampilannya, selain berkata mahu kekal sebagai Muthu sehingga akhir hayatnya.
Petchiammal bukanlah satu-satunya wanita yang memilih mengubah identitinya sebagai lelaki demi kelangsungan hidup.
Sebelum ini, wanita kelahiran Mesir, Sisa Gaber Abou Douh telah dilaporkan memberanikan diri menentang masyarakat dan mencipta ‘identiti baharu’ demi anak perempuannya, Huda dengan menyamar sebagai lelaki selama 43 tahun.
Sama seperti Petchiammal, pada tahun 1970-an, Sisa telah kehilangan suaminya ketika dia sedang hamil enam bulan.
Dia yang ketika itu baru berusia 21 tahun terpaksa menerima hakikat bahawa keluarganya yang konservatif tidak membenarkan dia untuk bekerja sekali gus menyulitkannya untuk memberikan kehidupan yang lebih baik buat Huda.
Sisa kemudian memilih untuk menukar penampilannya dan menyamar sebagai seorang lelaki sebelum mula mencari kerja di bandar-bandar berhampiran dengan keyakinan tiada sesiapa yang berjaya mengecam dirinya.
Sisa telah memotong rambutnya pendek, memakai pakaian longgar dan berserban untuk bekerja sebagai petani, tukang pengilat kasut dan juga pekerja buruh.

Selama 43 tahun lamanya, Sisa kemudian terbiasa menjadi seorang lelaki sehinggalah wanita berusia 65 tahun itu menerima pengiktirafan pada tahun 2015 oleh kerajaan Mesir dan menerima anugerah ‘Pencari Nafkah Wanita’ oleh Kementerian Perpaduan Sosial.
Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi yang menyampaikan sendiri anugerah tersebut kepada Sisa.
“Saya enggan untuk berkahwin lain selepas kematian suami. Saya mengambil peranan sebagai ibu dan ayah kepada anak tunggal saya dan bagi mendapatkan sesuap nasi dalam suasana masyarakat yang menganggap wanita tidak boleh melakukan banyak perkara dan anak perempuan tidak penting.
“Saya telah buat macam-macam kerja. Saya memikul guni berisi simen dan konkrit di atas kepala saya selain mengangkat batu bata. Saya terima segalanya tanpa merayu sebarang simpati,” katanya sebak menelan kepahitan hidupnya dalam satu temu bual.
Sisa juga sempat dirakam bercakap dengan anaknya: “Jika awak lelaki, saya mungkin kahwin lagi, tetapi awak perempuan dan tidak siapa akan jaga awak dengan baik sebagaimana saya jaga. Saya mungkin akan kehilangan awak.”
Menyoroti sejarah, terdapat juga kisah seorang wanita pada tahun 1914 yang menyamar sebagai lelaki iaitu Dorothy Lawrence dari Britain, namun naratifnya sedikit berbeza.
Wanita itu yang memasang impian untuk bergelar wartawan menghubungi beberapa akhbar Britain untuk menawarkan dirinya bekerja sebagai wartawan pelapor perang di Perancis, namun kecewa apabila pihak akhbar enggan menerimanya hanya kerana dia seorang wanita.
Lawrence kemudiannya nekad menyertai pasukan Tentera Britain pada tahun 1915 sebagai Denis Smith demi meyakinkan pihak akhbar bahawa dia boleh mendapatkan berita dari sumber dalaman.
Namun, dia hanya sempat bertugas selama 10 hari sebelum identiti sebenarnya terbongkar. Lawrence kemudian ditahan oleh pihak berkuasa sehinggalah dia bersetuju untuk menandatangani afidavit dan berjanji tidak mendedahkan apa-apa kepada akhbar bahawa dia telah berjaya memperdaya pihak tentera yang percaya dia seorang lelaki.

Perintis sukan judo Amerika Syarikat, Rusty Kanokogi pula sebenarnya satu identiti lelaki yang dicipta oleh seorang wanita, Rena Glickman.
Kanokogi yang mula berlatih judo pada 1950-an kecewa apabila dia sering tidak digalakkan untuk belajar sukan itu memandangkan dia merupakan seorang wanita.
Pada 1959, Kanokogi menyertai kejohanan judo dengan menyamar sebagai seorang lelaki dan menjadi juara.
Dia bagaimanapun dipaksa memulangkan semula pingatnya selepas identiti sebenarnya didedahkan.
Kanokogi seterusnya meninggalkan Amerika Syarikat dan berhijrah ke Jepun di mana dia menjadi wanita pertama yang berlatih bersama peserta judo lelaki di Kodokan yang merupakan ibu pejabat dunia judo.
Malah, wanita itu turut memainkan peranan penting dalam menjadikan sukan judo wanita sebagai salah satu acara dalam sukan Olimpik.














