PILIH gaya paling sesuai bagi mengekspresi personaliti diri.

Tampil bergaya tanpa tiru orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh FAIZAL HAMID

PAKAIAN merupakan ekspresi luaran yang lahir dari dalam diri individu atau seseorang. Adalah amat penting untuk menggayakan pakaian bertujuan sebagai suatu ekspresi gaya tersendiri atau sekadar untuk menyampaikan mesej tertentu kepada sesiapa yang melihat.

Namun begitu, walau apa pun gaya anda, seharusnya ia nampak bersahaja, tidak keterlaluan dan tidak dibuat-buat.

Lebih mudah jika anda memikirkan style (gaya) sebagai lifestyle (gaya hidup) dan bukan hanya cara kita memilih pakaian, tetapi juga bagaimana pendekatan kita terhadap perkara-perkara lain.

Mengaplikasi falsafah hidup kita dalam cara kita berpakaian adalah salah satu cara untuk mengintegrasikan personaliti diri dalam penampilan kita sehari-hari.

Ia memudahkan kita untuk mengadaptasi atau menyesuaikan pakaian sedia ada untuk ke pejabat, beriadah hingga ke hujung minggu. Sememangnya gaya adalah ekspresi personaliti diri melalui penampilan yang kita pilih.

1. Selesa apa dipakai

Paling utama, kita perlu jujur dengan diri sendiri. Kita perlu sentiasa selesa dengan apa yang dipakai serta gayakan.
Pilihlah padanan pakaian dan aksesori yang kita fikirkan menarik, bukan apa yang dikatakan trendy oleh orang lain.

Oleh itu, kekalkan item yang paling sesuai dengan umur, potongan badan, imej, personaliti serta gaya kita dengan mengambil kira acara, majlis dan lokasi.

Adalah penting untuk berpakaian dengan gaya yang boleh menyampaikan mesej positif, serta paling utama penampilan anda juga perlu nampak bersahaja dan natural.

Memakai pakaian yang tidak kena dengan diri adalah kesalahan paling besar yang anda lakukan dalam terma fesyen.

Fesyen adalah sesuatu yang ceria serta gaya ekspresi individu yang tersendiri dan dapat untuk mempertingkatkan keyakinan serta ketrampilan diri.

Kita akui, citarasa manusia adalah sangat subjektif dan bersifat sejagat.

Setiap individu berhak berfesyen mengikut kemampuan dan cita rasanya.

Namun begitu, ia perlu disesuaikan dengan budaya serta latar belakang masyarakat setempat.

2. Gaya kontemporari

Kita perlu sedar bahawa imej yang hebat dan berhemah merupakan simbol gaya kontemporari. Ia cukup signifikan bagi mereka yang mahukan imej penuh keterampilan dengan kredibiliti hebat.

Idea dan cita rasa adalah sesuatu yang subjektif. Setiap individu inginkan identiti tersendiri, tidak mahu dikongsi dengan orang lain.

Seperkara lagi, elakkan daripada menjadi hamba media cetak dan elektronik. Jangan tiru tanpa berfikir apa yang kita lihat di televisyen dan majalah. Celebriti dan model selalunya overdo trends untuk menarik perhatian media.

Kini tidak ramai yang mahu meniru dan menjadi klon personaliti atau selebriti terkenal. Sememangnya kita tidak perlu menjadi orang lain untuk terkenal.

PADANAN busana ringkas dalam rona selamat boleh elak anda tampil pelik.

3. Gaya ekspresi

Kini, memakai pakaian berjenama dan mengenakan aksesori pereka fesyen atau jenama terkenal dan mahal dari hujung rambut ke hujung kaki tidak lagi menjadi tarikan wanita.

Lebih penting dan menjadi keutamaan adalah gaya ekspresi individu tersendiri.

Setiap gaya adalah luahan rasa si pemakainya.

Praktikan konsep less is more. Jangan oderdo and trying too hard dalam berfesyen. Anda tidak perlu gayakan segala pakaian dan aksesori yang trendy dan popular dalam satu masa.

Ia akan nampak amat pelik dan janggal.

Cuba jangan membazir dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Beli hanya beberapa pakaian trendy pada setiap musim dan kemudian suai padan dengan apa yang ada dalam almari pakaian anda.

4. Bijak suai padan

Pakaian baharu yang disuai padan dengan yang lama secara bijak dan lebih kreatif, selalunya menjadikan penampilan kita kelihatan lebih menarik dan bersahaja.

Sebelum anda bercadang untuk membeli pakaian ataupun aksesori yang baharu, tanya diri sendiri sama ada anda membelinya adalah kerana ia instyle atau kerana anda betul-betul memerlukan dan menyukainya.

Jika membelinya hanya kerana logo atau jenama barangan tersebut, lupakan sahaja niat anda.

Ini kerana, percayalah pada akhirnya pakaian tersebut hanya akan menjadi hiasan dalam almari anda.

——————————————————————————————————————————————————————————————————————FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan
Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN