fbpx

Sampah seminggu di Selangor sama tinggi KLCC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Tahap keseda­ran yang rendah dalam kalangan rakyat mengenai pengurusan sisa pepejal termasuk pem­buangan lebihan makanan menyebabkan jumlah sampah di negara ini te­rus meningkat setiap tahun.

Secara umumnya, rakyat di negara ini menjana sampah domestik sebanyak 38,000 tan sehari dengan Selangor merekodkan jumlah terbanyak iaitu kira-kira 7,000 tan.

Lebih membimbangkan apabila anggaran sisa domestik di Selangor jika dikumpul dalam tempoh seminggu boleh menya­mai ketinggian bangunan pencakar langit kedua tertinggi di Malaysia iaitu Menara Berkembar Petronas (KLCC).

MOHD. IDRIS

Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM), Mohd. Idris Mohamed Yusof berkata, Selangor menjadi ne­geri paling tinggi menyumbang keseluruhan sampah iaitu 30 peratus sehari daripada 38,000 tan.

Katanya, secara purata seorang penduduk di Selangor menyumbang 1.17 kilogram (kg) sampah sehari dengan 50 peratus dari komposisi itu melibatkan sisa makanan.

“Kalau dihitung, sehari seba­nyak 7,000 tan sampah domestik dan longgokan sampah itu mampu mencecah sehingga 49,000 tan dalam tempoh seminggu.

“Berdasarkan kiraan, jika ke­seluruhan sampah seminggu itu disusun secara bertingkat, boleh menyamai ke­tinggian KLCC (451.9 meter),” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berkata, hasil rekod juga menunjukkan kutipan sampah domestik yang diuruskan KDEBWM meningkat secara purata sebanyak tujuh peratus setiap tahun.

Ini dibuktikan apabila sampah dikutip bagi tahun 2016 sebanyak 96,119 tan, 2017 (438,795.74), 2018 (744,757.48), 2019 (1.33juta), 2020 (1.6juta) dan 2021 (1.71juta).

Ujar Mohd. Idris, keadaan ini menyebabkan kerugian kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila terpaksa menanggung kos pelupusan yang tinggi setiap tahun.

“Lokasi paling tinggi kutipan sampah tahun lalu adalah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang iaitu 840,302.97 tan diikuti Majlis Bandaraya Pe­taling Jaya (552,193.30), Majlis Perbandaran Sepang (318,504.53), Majlis Bandaraya Subang Jaya (230,162.98) dan Majlis Perbandaran Klang (202,673.14),” katanya.

Jelas beliau, bagi tempoh lapan hari puasa bermula 2 hingga 9 April lalu, sebanyak 355 tan sampah dari tapak bazar Ramadan di tujuh PBT telah diuruskan KDEBWM berbanding tempoh 145 tan tahun lalu.

Justeru, Mohd. Idris mengingatkan pengguna di Malaysia untuk berjimat cermat ketika berbelanja bagi mengelakkan pembaziran seterusnya mengurangkan penghasilan sampah.

Sebagai contoh, tong sampah bagi penduduk Surabaya di Indonesia khusus­nya didapati tidak dipenuhi banyak sampah makanan.

Tambahnya, mereka juga mengamalkan kitar semula yang tinggi dengan menggunakan ­pendekatan bank sampah induk.

“Semua orang kampung akan membawa sampah ke pusat tersebut dengan akaun simpanan jualan sampah akan ­dibuka dan diisi dengan wang hasil jualan mereka,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI