JERANTUT – Pelbagai faktor mendesak seperti desakan hidup dan tidak mampu menguruskan ladang kerana usia tua selain anak-anak yang tidak berminat ketika harga kelapa sawit jatuh menyebabkan ada golongan peneroka yang terpaksa memajak ladang sawit mereka.
Selain itu, faktor kekurangan tenaga buruh untuk bekerja di ladang juga dikatakan menjadi penyebab peneroka warga emas mengambil jalan selesa dengan memajakkan ladang mereka.
Seorang pemajak di Felda Wilayah Jengka di sini yang enggan dikenali berkata, dia mula memajak tanah peneroka ketika hasil komoditi itu meleset di bawah RM360 setan dengan kadar kira-kira RM12,000 setahun.
“Saya bertindak memajak selepas peneroka datang kepada saya yang mahu memajak kerana mereka terdesak dan memerlukan duit. Jadi, saya bantu mereka pada masa itu kerana harga sawit tidak stabil dan mereka terbeban.
“Saya tiada masalah jika peneroka mahu membatalkan pajakan tetapi mereka perlu melunaskan bayaran tertentu yang telah dipersetujui dan terkandung dalam perjanjian bersama,” katanya.
Menurutnya, dia tidak berniat menindas peneroka dengan memajak tanah mereka, sebaliknya terpaksa menanggung risiko apabila harga komoditi itu berada pada paras sangat rendah.
Justeru katanya, semua pihak harus bersikap adil dan jangan hanya mementingkan diri sendiri apabila mahu mengambil semula tanah mereka ketika harga sawit melambung tinggi.
Mengulas lanjut, beliau mengakui punca peneroka memajak tanah mereka biasanya dikaitkan dengan ketidakmampuan untuk mengurus ladang kerana faktor usia selain tiada anak-anak yang berminat.
“Segelintir peneroka turut berdepan tekanan kewangan berikutan harga sawit rendah dalam tempoh dua tahun lalu ketika ancaman pandemik Covid-19 menyebabkan mereka mencari jalan mudah memajakkan tanah sendiri,” ujarnya.














